Monday, April 13, 2015

SIKAYA...SIMISKIN...ADAKAH YANG KAYA TAK BERSYUKUR
































HARGAILAH JASA IBUBAPA






























LAMANYA TAK UPDATE(YANG TERAKHIR 21/7/2011)...TERLEPAS PANDANG BLOG NI


 

Tentang usia mudamu...untuk apa ia dihabiskan?

Pemuda adalah golongan pelapis tampok pemerintahan sebuah negara. Pemuda juga menjadi kayu ukur bagi keutuhan pemerintahan sesebuah negara. Jika ramai golongan mudanya rosak maka lemahlah kepimpinan negara tersebut ibarat retak menanti belah. Islam amat menitik beratkan tentang usia muda dan golongan muda iaitu usia awal remaja hingga usia belia. Antara hadis yang dapat diambil untuk pengajaran ialah:

Rasulullah S.A.W bersabda dalam hadits Abdullah bin Mas’ud R.A, “Tidak akan beranjak kaki anak Adam pada Hari Kiamat dari sisi Rabbnya sampai dia ditanya tentang 5 (perkara) : Tentang umurnya dimana dia habiskan, tentang masa mudanya dimana dia usangkan, tentang hartanya dari mana dia mendapatkannya dan kemana dia keluarkan dan tentang apa yang telah dia amalkan dari ilmunya”. (HR. At-Tirmizi).


Hadis di atas amat jelas menunjukkan bahawa usia muda ialah satu nikmat yang besar dan diminta pertanggungjawaban ke atasnya. Oleh itu wajib bagi setiap muslimin mengetahui peranan dan tanggungjawabnya ketika di usia muda dan memanfaatkannya mengikut syariat Islam.



Berpandukan dalil ini, saya berasa terpanggil untuk bersama sahabat-sahabat seperjuangan menyebarkan syiar-syiar agama melalui penulisan blog. Dalam usia 23 tahun saya berasa kurang berharga jika usia semuda ini tidak dimanfaatkan sesuai dengan syariat agama Allah. Jika kita kaji sejarah Islam, ramai pemuda-pemuda yang berjiwa kental berjuang menegakkan agama Allah di muka bumi bersama-sama pemimpin pada masa itu. Sebagai contoh Saidina Ali R.A. seawal usia 10 tahun telah memeluk Islam dan berani berpidato menentang golongan Musyrikin sehingga mendapat gelaran Karamallahu Wajhah kerana keengganannya menyembah berhala. Begitu juga dengan Muhammad Al-Fateh yang telah dilantik untuk mengetuai peperangan ketika berusia 23 tahun meluaskan empayar Islam di Turki. Berpuluh-puluh ribu lagi pemuda-pemuda seperti mereka telah berkorban jiwa dan raga dengan hanya bermodalkan kalimah La Ilaha Illalah, Muhammada Rasulullah sehingga ada yang syahid di usia belasan tahun lagi. Bagi mereka balasan syurga adalah ganjaran yang lebih baik daripada  habuan dunia semata-mata.



Amar Makruf Nahi Mungkar. Itu juga menjadi prinsip dalam diri insan yang berjuang semata-mata kerana Allah. Populariti, pengiktirafan, dan seumpamanya bukan lagi tujuan dalam hidupnya. Ilmu tanpa amal, ibarat pohon tanpa buah. Bagi saya walaupun ilmu itu sedikit jika dimanfaatkan ia tetap akan mendapat ganjaran pahala di sisi-Nya. Yang utama ialah keikhlasan dalam mencari jalan yang diredhai Allah. Keikhlasan adalah ruh-ruh yang menghidupkan kerangka-kerangka amal seorang hamba. Tanpa keikhlasan  tiadalah amal, yang tinggal hanyalah riak, ta'jub, takbur, dan seumpamanya. Walaubagaimanapun, saya sedar saya tidak sehebat Saidina Ali R.A. atau segagah Muhammad Al-Fateh, dan bukan niat saya mencari gelaran seperti ustaz atau orang alim, saya berharap usaha-usaha yang kecil-kecil ini diberkati Allah dan dikuatkan semangat saya dalam menyebarkan syiar-syiar-Nya hingga ke akhir hayat. Semoga nukilan-nukilan yang sedikit-sedikit ini menjadi bekalan untuk melepasi ujian-ujian besar di akhirat kelak. Ayuh!!! sama-sama kita usahakan usia muda untuk kebaikan kita di akhirat kelak. Wallahua'lam.

"Fikirkanlah sesuatu kebaikan yang boleh kamu sumbangkan sekarang (di dunia), supaya esok (di akhirat) kamu memperolehi kebaikannya pula"

الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي هَدَانَا لِهَذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَو لاَ أَنْ هَدَاناَ اللّه ، وَأَشْهَدُ أَن لاَ إِلَهَ إِلا الله وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّداً عَبْدُهُ وَرَسُولُه .
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا محمدٍ حِبِيْبِنَا وَشَفِيْعِنَا وَقُدْوَتِنَا , نَبِيِّ الرَّحْمَةِ , وَشَفِيْعِ الأُمَّةِ , وَعَلَى آَلِهِ  وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالاَهُ , وَبَعْدُ.
 فَيَا أَيُّهَا الْمُسْلِمُونَ اتَّقُوا الله ؛ فَإِنَّ تَقْوَاهُ أَفْضَلُ مُكْتَسَبٌ وَطَاعَتُهُ أَعْلَى نَسَبٍ : يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اتَّقُواْ اللّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّإِلاَّ وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ آل عمران102
Wahai hamba-hamba Allah saya berpesan kepada anda dan juga diri saya sendiri supaya bertaqwa kepada Allah SWT, maka berjayalah orang-orang yang bertaqwa. Carilah bekalan, sesungguhnya sebaik-baik bekalan ialah taqwa.
Muslimin sidang Jumaat sekalian!
Marilah sama-sama kita mendengar satu hadis yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang berbunyi :
لاَ تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ أَرْبَع : عَن عُمْرِهِ فِيْمَا أَفْنَاهُ، ، وَعَنْ شَبَابِهِ فِيْمَا أَبْلاَه ،وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَه، وَفِيمَا أَنْفَقَه  وَعَنْ عِلْمِهِ فِيماَ فَعَلَ
Maksudnya :
“ Tidak akan terlepas kedua kaki seorang hamba itu semasa (berada di Padang Mahsyar) pada hari kiamat sehingga disoal kepadanya empat soalan ;
Pertama: Tentang umurnya, dimanakah dihabiskan
Kedua : Tentang zaman mudanya, bagaimana digunakan
Ketiga: Tentang hartanya, bagaimana diperolehi dan bagaimana digunakan
Keempat : Tentang ilmunya ,apakah diamalkan dengannya .[ Hadith riwayat Imam al-Tirmizi]
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah (s.w.t)
Hadith ini mengingatkan kita berhubung 4 soalan yang nampak mudah tetapi ramai dikalangan kita yang tidak mengamalkannya.
Pertama: عَن عُمْرِهِ فِيْمَا أَفْنَاهُ

Bagaimana kita menghabiskan umur kita atau dalam erti kata yang lain, bagaimana kita menghabiskan nikmat masa yang Allah (s.w.t) kurniakan kepada kita. Firman Allah (s.w.t):
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلَّا الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (3)
Pada hari ini marilah kita bermuhasabah bagaimana kita hari ini menghabiskan masa kita? Bagaimana kita menghabiskan masa kita siang dan malam? Adakah menghabikan masa berjam-jam dengan menenonton filem, drama dan telenovela atau menghabiskan masa dengan perkara-perkara berfaedah ? Berapa ramai di kalangan kita yang sanggup untuk duduk di masjid antara maghrib dan isyak atau selepas subuh untuk mendengar kuliah agama atau belajar al-Qur’an?  Adakah kita menghabiskan masa dengan menonton bola sehingga larut malam di kedai kopi atau di hadapan televisyen? Berapa ramai pula  di kalangan kita yang menghidupkan malam dengan solat tahajjud dan berapa ramai yang datang solat subuh berjemaah?  Berapa ramai yang menghadiri program jom heboh atau menyaksikan akademi fantasia berbanding yang menghadiri forum perdana atau rancangan realiti imam muda, ustazah pilihan atau solehah. Berapa ramai yang memilih channel tv al-Hijrah atau astro oasis berbanding saluran-saluran televisyen yang lain?
Justeru itu, berdasarkan hadith yang dibaca pada hari ini,  marilah kita menghargai masa dan jangan dibiarkan berlalu dengan perkara-perkara yang dimurkai Allah (s.w.t).Setiap masa yang diabaikan merupakan satu kerugian bagi kita. Marilah sama-sama kita menghayati ungkapan Hasan al-Basri Rahimahullah yang menyebut
لَقَدْ أَدْرَكَنَا مَنْ كاَنَ الْوَقْتُ فِيْهِم أَنْفَسُ مِنْ دَنَانِيْرِهِم وَذَهَبِهِم وَفِضَّتِهِم
“ Kami sempat bertemu dengan generasi yang waktu mereka lebih berharga dari dinar, emas dan perak.”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Soalan Kedua yang akan ditanya di akhirat nanti ialah:
وَعَنْ شَبَابِهِ فِيْمَا أَبْلاَه
Bagaimana kita menghabiskan masa muda kita?  adakah untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT atau disia-siakan zaman muda mereka dengan perkara –perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t .
Golongan pemuda hari ini  perlu mencontohi  pemuda ashabul  kahfi  yang yang berani mempertahankan aqidah dan agama sekalipun bilangan mereka sedikit, dan mereka tetap mempertahankan agama sekalipun di hadapan raja yang zalim yang memaksa mereka kembali kepada kekafiran.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah (s.w.t)
Di dalam sejarah Islam, menceritakan kepada kita betapa hebatnya peranan pemuda–pemuda Islam berjuang mempertahankan Islam sehingga Islam itu berkembang ke seluruh pelusuk dunia. Oleh itu, menyedari betapa pentingnya golongan pemuda di dalam Islam , maka Rasulullah saw begitu mengambil berat terhadap golongan pemuda . Buktinya, mereka yang mula-mula memeluk Islam dan menerima dakwah Rasulullah SAW adalah di kalangan pemuda-pemuda yang umur mereka lebih muda daripada Rasulullah sendiri seperti Saidina Abu Bakar, Saina Umar, Saidina Othman ,Saidina Ali (r.anhum )dan lain-lain lagi.
Muslimin sidang jumaat sekalian,
Bagaimana pemuda umat Islam hari ini ? Adakah mereka membesarkan dalam keadaan beriman kepada Allah (s.w.t) atau mereka telah lupa tanggungjawab mereka terhadap Allah s.w.t? Ramai di kalangan pemuda hari berpegang dengan slogan zaman muda hanya sekali. Oleh itu mereka bebas untuk melakukan apa saja yang diinginkan oleh hawa nafsu mereka dan mereka menurut sahaja apa yang dibisikkan oleh syaitan dalam hati sanubari mereka. Sebahagian besar daripada golongan pemuda Islam pada hari ini sudah tidak lagi mengingati Allah swt seperti meninggalkan sembahyang. Mereka merasakan bahawa ibadat sembahyang lima waktu itu sangat membebankan. Seolah-olah lebih susah daripada mendaki gunung yang tinggi atau berenang di dalam lautan api.
Golongan pemuda seperti ini lebih gemar menghabiskan masa mereka di perhentian bas dan pusat membeli-belah atau ditepi pantai yang menjadi tempat berkumpul pemuda-pemudi yang tidak ada arah tujuan hidup. Di sinilah tempat mereka bersuka ria, bergaul bebas di antara lelaki dan perempuan, mendedahkan aurat, menghisap rokok dan melakukan perkara-perkara yang sia-sia , tidak ada guna di dunia dan akhirat.  Pergaulan bebas yang berlaku dikalangan pemuda-pemudi tanpa ada ikatan perkahwinan  yang sah menyebabkan berlakunya gejala sosial  seperti berzina, rogol, menggugurkan kandungan dan membuang anak-anak yang lahir daripada perbuatan zina dan tidak kurang juga mereka yang terlibat dengan gejala dadah.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah (s.w.t)
Satu lagi sindrom yang berlaku pada hari ini ialah anak muda tidak lagi berpeleseran di pusat membeli belah atau stesyen bas tetapi mereka menutup pintu bilik mereka untuk melayari internet.  Pemuda-pemudi Islam berada di hadapan internet dan berfacebok. Pemudi-pemjdi Islam menguploadkan dalam face book mereka  gambar yang tidak menutup aurat, lelaki dan perempuan bersembang berjam-jam di face book  sehingga mengabaikan tanggung jawab mereka terhadap Allah (s.w.t). Sebahagian yang lain pula menonton WEB yang mempunyai unsur lucah. Akhirnya mendorong kepada perbuatan sumbang mahram atau perbuatan zina.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah
Persoalan yang ketiga ialah:
وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَه، وَفِيمَا أَنْفَقَه
Tentang harta dari mana diperolehi dan bagaimana dibelanjakan?
Sidang Jumaat
Bagaimana umat Islam hari ini mencari harta mereka dan bagaiman harta tersebut dibelanjakan? Kebanyakan umat Islam hari ini tidak peduli soal sumber rezeki mereka adakah halal dan haram?  Apabila menyebut perkara yang haram, sebahagian kita memahami bahawa makanan dan minuman yang haram itu hanya  berupa arak, khinzir dan anjing atau binatang-binatang yang lain seperti binatang buas tetapi sebenarnya banyak disekeliling kita perkara-perkara yang haram dalam  urusan ekonomi. Umpamanya apabila membuat pinjaman, terdapat sebahagian umat Islam yang meminjam dengan Along untuk mendapatkan wang dengan cepat sedangkan ternyata pinjaman sebegini melibatkan riba yang diharamkan oleh Allah swt, apabila kita meninjau ke kedai loteri dan judi, kita lihat ramai umat Islam di sana bahakan ada yang berkupiah lebai berbaris untuk membeli tikam ekor dan banyak lagi senario-senario dalam masyarakar yang menunjukkan betapa umat Islam tidak mempedulikan rezeki yang mereka perolehi adakah dari sumber yang halal atau haram.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah (s.w.t)
Bagaimana pula harta yang diperolehi tersebut  dibelanjakan?Ramai dikalangan kita hari ini , tahu tentang zakat fitrah sahaja tetapi tidak ramai yang tahu tentang zakat harta, kesannya tidak ramai orang yang berharta seperti orang yang menternak lembu dan kambing tidak menunaikan haknya, begitu juga ramai usahawan dan peniaga yang mendapat keuntungan besar dalam perniagaan mereka tidak membayar zakat. Ramai juga juga yang tidak dapat membezakan zakat harta yang wajib dengan sedekah dan infaq yang sunat. Mereka menyangkakan dengan bersedekah seperti membeli keperluan-keperluan masjid seperti sejadah, al-Quran  sudah tidak perlu lagi mengeluarkan zakat, kesannya kita lihat masih ramai golongan fakir dan miskin hidup melarat kerana tidak mendapat hak zakat mereka berpunca dari kejahilan membelanjakan harta yang dikurniakan Allah (s.w.t) ke saluran yang sepatutnya.
Sidang Jumaat
Soalan yang keeempat ialah : عَنْ عِلْمِهِ فِيماَ فَعَلَ
Berkaitan ilmu yang diperolehi apa yang diamalkan.
Ilmu yang akan memberi manfaat ini bukanlah berupa segulung sijil atau ijazah  yang diperolehi di kolej atau universiti,  atau berupa gelaran  M.A dan Ph.d  ilmu yang sebenarnya ialah ilmu yang kita dapat amalkan.  Hari ini kita melihat satu fenomena yang menyedihkan apabila kita melihat anak-anak kita mendapat markah yang tinggi dalam subjek Pendidikan islam atau subjek tamadun Islam di universiti tetapi apabila melihat kepada pengamalan ilmu tersebut ternyata mereka gagal. Mereka tidak menutup aurat, mereka tidak solat, mereka melakukan perkara yang dimurkai Allah (s.w.t) . Mereka tidak menghormati ibu bapa mereka dan mereka tidak mengingati Allah (s.w.t)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah (s.w.t)
Marilah kita mencontohi bagaimana para sahabat bersegera mengamalkan ilmu yang diperolehi tanpa banyak soal. Apabila mereka mengetahui sesuatu perkara itu baik mereka segera melakukannya dan sekiranya mengetahui perkara itu haram mereka segera meninggalkannya. Lihat para sahabat yang menyimpan arak di rumah mereka, apabila mendengar firman Allah yang mengharamkan arak, mereka pulang ke rumah mencurahkan arak yang banyak sehingga arak yang banyak itu mengalir di lorong-lorong Madinah. Mereka tidak bimbang tidak dapat duit dengan sebab arak itu dicurahkan ke bumi.Apabila mendengar ayat yang mengharamkan riba , orang kaya dan orang miskin tidak lagi bermuamalat dengan ribqa. Mereka yakin bahawa riba adalah najis dan haram. Orang Islam tidak boleh beramal lagi dengannya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Alah (s.w.t)
Apa akan berlaku sekiranya kita umat Islam hari ini menghayati dan melaksanakan empat persoalan yang disebut oleh Rasul (s.a.w) yang dibaca diawal khutbah tadi? Khatib percaya kita akan menjadi umat yang digeruni oleh musuh. Kita akan menjadi umat yang terbaik sebagaimana yang dilalui oleh generasi yang lalu sehinggakan Islam berjaya mengusai dua pertiga dunia.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah (s.w.t)
Mengakhiri khutbah ini marilah sama-sama kita  bermuhasabah. Bagaimana kita ingin bertemu Allah (s.w.t) Bagaimana kita ingin mendapat keredaanAllah  sedangkan kita  memandang ringan terhadap usia, masa remaja, harta dan ilmu yang kita perolehi. Ingatlah tidak akan terlepas dari  empat perkara ini. Sudahkah kita bersedia ? Apakah jawapan yang kita akan berikan di mahkamah Allah (s.w.t) di akhirat nanti di saat  mulut kita ditutup dan yang bertutur ialah tangan kita dan yang menjadi saksi adalah kaki kita.
Firman Allah (s.w.t):
الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَى أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ (65)
Pada waktu itu kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan. Surah Yasin
بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ فِي الْكِتَابِ وَالسُّنَّة ، وَنَفَعَنِي وَإِياَّكُم بِماَ فِيْهِمَا مِنَ الْبَيِّنَاتِ وَالْحِكْمَةِ ، أَقُولُ مَا تَسْمَعوُن وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ لِي وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ مِنْ كُلِّ ذَنْبٍ وَخَطِيْئَة ؛ فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هَوَ الْغَفُورُ الرَّحِيم