Sunday, March 14, 2010

INI HENDAKLAH DIFIKIRKAN

Ilmuwan Islam: Al-Ghazali tolak falsafah sebagai sumber utama ilmu


2010/03/14

IMAM Al-Ghazali lebih dikenali sebagai ulama tasawuf dan akidah. Oleh sebab itu sumbangannya terhadap bidang falsafah dan ilmu pengetahuan lain tidak boleh dinafikan. Al-Ghazali adalah seorang ahli sufi yang bergelar ‘hujjatui Islam’.
Nama sebenarnya Abu Hamid Ibnu Muhammad Al-Tusi Al-Ghazali dan dilahirkan di Tus, Parsi pada 450 Hijrah. Sejak kecil lagi, beliau sudah menunjukkan keupayaan luar biasa dengan menguasai pelbagai cabang ilmu pengetahuan. Beliau bukan saja produktif dari segi menghasilkan buku dan karya tetapi seorang ahli fikir Islam yang terulung.

Kecintaannya terhadap ilmu pengetahuan begitu mendalam sehingga mendorongnya mengembara dan merantau dari satu tempat ke tempat lain untuk berguru dengan ulama yang hidup pada zamannya. Ketika berada di Baghdad, Al-Ghazali dilantik sebagai mahaguru Universiti Baghdad. Walaupun bergelar mahaguru tetapi beliau masih berasakan kekurangan pada ilmu pengetahuan yang dimiliki. Lantaran itu, beliau meninggalkan jawatannya dan beralih ke bidang tasawuf dengan merantau ke Makkah sambil berguru dengan ahli sufi yang terkenal di sana.
Selain belajar dan mengkaji, Al-Ghazali juga banyak menulis. Dianggarkan beliau sudah menulis 300 buku mencakupi pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti mantik, akhlak, tafsir, ulumul Quran dan falsafah. Bagaimanapun, sebahagian besar hasil tulisannya hangus dibakar oleh tentera Barbar yang menyerang kota Baghdad.

Antara kitab yang musnah termasuk 40 Jilid Tafsir, Sirrul Alamain (Rahsia Dua Dunia) dan al Madhnuuna bihi ala Qhairiha (Ilmu Yang Harus Disembunyikan Daripada Orang Yang Bukan Ahlinya,). Cuma 84 buku tulisan beliau berjaya diselamatkan seperti Al Munqiz Mim al Dhalal (Penyelamat Kesesatan), Tahafut al Falsafah (Penghancuran Falsafah), Mizanul Amal (Timbangan Amal), Ihya Ulumuddin (Penghidupan Pengetahuan), Mahkun Nazar (Mengenai Ilmu Logik), Miyarul Ilmu, dan Maqsadil Falsafah (Tujuan Falsafah).

Meskipun Al-Ghazali banyak menulis mengenai falsafah tetapi beliau tidak dianggap sebagai seorang ahli falsafah. Malah kebanyakan penulis menggolongkan Al-Ghazali sebagai seorang yang memerangi dan bersikap anti-falsafah. Pandangan itu berdasarkan tulisan Al-Ghazali dalam buku Tahafut Falsafah yang banyak mengkritik dan mengecam falsafah. Bahkan dalam buku berkenaan, Al-Ghazali menyatakan tujuan menyusun buku itu adalah untuk menghancurkan falsafah dan menggugat keyakinan orang terhadap falsafah. Namun begitu, pandangan bahawa Al-Ghazali seorang yang anti-falsafah tidak dipersetujui oleh beberapa orang sarjana.
Kalau menelusuri perjalanan hidup Al-Ghazali, kita akan mendapati beliau adalah ilmuwan Islam pertama yang mendalami falsafah dan kemudian mengambil sikap mengkritiknya. Walaupun Al-Ghazali kurang senang dengan falsafah dan ahli filsafat tetapi dalam buku Maqasid al Falasifah, beliau mengemukakan kaedah falsafah untuk menghuraikan persoalan yang berkaitan dengan logik, ketuhanan, dan fizikal.

Bagi Al-Ghazali, falsafah boleh dibahagikan kepada enam ilmu pengetahuan ialah matematik, logik, fizik, metafizik, politik dan etika. Bidang ini kadangkala selari dengan agama dan kadangkala sangat berlawanan dengan agama.

Al-Ghazali tidak menolak penggunaan akal dalam pembicaraan falsafah dan penghasilan ilmu pengetahuan yang lain. Sebaliknya, beliau berpendapat ilmu kalam dan penyelidikan menggunakan fikiran boleh menambahkan keyakinan dan menyalakan api keimanan pada hati orang bukan Islam terhadap kebenaran ajaran Islam. Jadi, perkembangan sesuatu ilmu pengetahuan bukan saja bersandarkan kepuasan akal fikiran tetapi juga perlu mengambil kira aspek perasaan dan hati nurani. Al-Ghazali menganjurkan supaya umat Islam mencari kebenaran dengan menjadikan al-Quran sebagai sumber utama bukannya melalui proses pemikiran dan akal semata-mata.





Umur aset dipertanggungjawab di akhirat



2010/03/12

“JANGAN lupa ya abah! Bulan ini birthday Aakief, Aakief nak bawa kek kat kawan-kawan ke sekolah,” ujar anak saya yang berumur enam tahun.

Tersentak juga mendengar anak montel dan gebu itu mengomel. Yang tersentak sebenarnya bukannya sebab kena beli kek atau terlupa tarikh hari lahirnya, tetapi kerana mengenangkan umur serta tanggungjawab di sebalik sambutan hari lahir itu.


Umur anak kecil yang masih putih bersih bak kain putih seperti Akief itu sememangnya hanya tahu bergembira kerana mereka dirai, diingati dan disayangi. Namun, bagi kita yang sudah lama bermusafir di bumi Allah ini sepatutnya bermuhasabah diri kerana semakin umur kita semakin berkurangan umur.


‘Birthday’ yang biasanya diucap ‘selamat’ itu sebenarnya ‘bertambah kurang’. Seeloknya di samping bergembira, jangan lupa aspek manfaat dan kualiti amal yang kita lakukan perlu seiring dengan pertambahan usia kita. Hal ini sangat penting kerana di akhirat nanti, setiap individu akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah s.w.t. Sebagaimana di dalam hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Tidak berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada Hari Kiamat sehingga ia disoal mengenai umurnya pada perkara apakah ia habiskan, ilmunya untuk apakah ia gunakan, harta bendanya dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia belanjakan, mengenai tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan serta kecergasannya.” (HR Tarmizi).


Dalam hidup manusia terdapat tonggak umur yang sangat penting, antaranya umur 40 tahun sebagaimana tertera dalam al-Quran (Al-Ahqaf: 15--16). Nabi Muhammad s.a.w dalam sebuah hadisnya yang bermaksud: “Apabila seseorang sudah mencapai usia 40 tahun, sekiranya kebaikannya tidak mengatasi keburukannya, syaitan mencium di antara kedua-dua matanya dan berkata, ‘Inilah manusia yang sangat malang’.


Dalam riwayat lain, Nabi bersabda yang bermaksud: “Ba rangsiapa umurnya sudah melebihi 40 puluh tahun sedang kebaikannya tidak lebih banyak daripada kejelekannya, hen daklah ia mempersiapkan keberangkatannya ke neraka.’’ Daripada dua hadis berkenaan, Nabi s.a.w menganjurkan umatnya untuk memeriksa amal perbuatannya setiap kali menyedari umurnya kian bertambah. Umur aset yang akan dipertanggungjawabkan. Kita pasti ‘beruntung dan celaka’ dengan umur panjang kita. Semuanya bergantung pada amal yang kita lakukan. Rasulullah s.a.w menyimpulkannya dalam dua kalimat iaitu “Manusia paling baik ialah yang panjang umurnya dan baik amal perbuatannya. Manusia paling buruk ialah yang panjang umurnya dan buruk amalnya.





Sukar terima dalil

us.Zaharuddin Abd Rahman



2010/03/14

“BILA saya masuk blog ustaz, saya dapati semuanya haram, itu haram ini haram, naik pening kepala,” rungut seorang pelawat.

“Ustaz, elok berhati-hati menentukan hukum, usah sampai menutup rezeki orang, menzalimi orang, dosa tau,” kata seorang pedagang mata wang asing tegar.


“Selagi belum ada hukum haram yang jelas daripada badan berwajib, selagi itu harus bagi aku,” tegas ‘leader’ syarikat MLM.


“Ustaz, saya nasihat jangan la dengki dengan kami, kan elok jika senyap je, ini tidak, asyik menyusah dan memeningkan kami dengan penilaian ustaz,” kata seseorang lagi.


Inilah antara luahan dan ketidakpuasan hati beberapa individu dengan kandungan tulisan saya.


ASAL HUKUM MUAMALAT ADALAH HARUS Memang benar, asal hukum bagi hal ehwal muamalat perniagaan dan jual-beli adalah harus sehingga dibuktikan ia haram.

Kerana itu, kajian saya sememangnya HANYA mencari sama ada wujud unsur haram atau tidak. Unsur harus tidak perlu dicari lagi kerana hukum asalnya memang harus selagi belum dibuktikan haram.


Justeru, tidak wajar saya tanya anda: “Apakah dalil urus niaga anda ini halal?” Kerana itu, saya tidak patut marah jika ada yang sambil mendengus meluru kepada saya lalu bertanya: “Mengapa ustaz kata ini haram?” Lalu menjadi tanggung jawab saya untuk menyatakan apakah unsur haram dan unsur yang boleh membawa kepada haram atau syubhah di dalam sesuatu perniagaan itu, menurut kajian dan ilmu yang saya miliki.


Saya akan menjawab persoalannya dengan jawapan dan dalil, namun secara ringkas disebabkan kekangan masa ada kalanya menghalang untuk saya menulis dan membentangkan semua hujah serta dalilnya.


Cuma saya mungkin tidak melayan sebarang persoalan apabila penyoal tidak beradab ketika ingin mendapatkan penjelasan ilmu atau soalannya berulang dan sudah dijelaskan sebelum ini.


Kemudian jika ada kesempatan masa, saya mungkin membaca maklum balas pihak sebelah sana yang berusaha mematikan setiap hujah dan dalil yang saya gunakan.


Malangnya, kebanyakan hujah diberi bukan dengan bimbingan ilmu dan akal sihat, tetapi dengan emosi atau kefahaman ilmu Fiqh Muamalat yang sangat pincang.


Jika hujahnya mematikan setiap hujah pokok dan dalil yang saya gunakan dengan baik, nescaya hukum urus niaga tadi akan kembali menjadi harus seperti asalnya. Saya juga pasti gembira jika ia harus dan halal, malah mungkin turut menyertainya.


Jika sebaliknya, saya mungkin memadam saja komentar serta ulasan emosi dan tiada nilai bagi mengelak kekeliruan di kalangan pembaca lain. Ibarat kereta baru sebelum dikeluarkan dari kilang, perlu dihujani pelbagai ujian demi memastikan ia selamat untuk dipandu.


Maka individu berpengajian syariah seperti saya dalam hal ini, ibarat tukang uji produk dan urus niaga kewangan dari sudut syariah, jika ia berjaya dan lulus, mari kita kempen kerana ia selamat digunakan.


Jika tiada saya dapati hujah balas yang logik dan kukuh, jika tidak haram sekalipun, paling kurang perniagaan, program, MLM, produk dan skim berkaitan akan duduk di tangga syubhah.

Tatkala itu, terpulang kepada pembaca untuk menggunakan akal, kemampuan memahami hujah saya dan bertanya kepada iman di dalam hati: “Siapa yang patut aku turuti.” Namun, tidak mudah untuk menyongsang arus wang yang masuk ke poket orang, saya masih ingat betapa ramainya orang tidak puas hati masuk ke blog saya dengan bahasa biadap dan kotor. Kebanyakannya dipadam tanpa siar dan baca.



  • MAKLUM BALAS BIASA Biasanya hujah dan dalil saya tidak berbalas dengan sesuatu yang ilmiah tetapi dengan hal dan ayat yang tidak berkaitan serta langsung tidak boleh dijadikan hujah seperti: “Saya minta ustaz kaji dengan lebih halus,” “Ustaz tidak faham,” “Habis, ramai orang masuk ini, termasuk ustaz di Jabatan Fiqh sebuah universiti, takkan semua mereka tak tahu dan hanya ustaz seorang yang tahu,” “Ia sama dengan senarai yang dilulus oleh Suruhanjaya Sekuriti, apa ulasan ustaz,” dan banyak lagi.


    Itulah ayat lazim maklum balas terhadap hujah permulaan saya, belum lagi dibawa hujah yang mungkin lebih berat dan teknikal.


    Biasanya, tulisan yang saya sertakan adalah ulasan yang saya permudahkan sedaya mampu supaya mampu difahami, jika tidak mampu memahaminya baris demi baris, paling kurang pembaca dapat menangkap maksud utama secara umum.


    Malangnya, ramai juga yang sebelum membaca sehingga habis setiap dalil dan ulasan, mereka terus bertempik marah dan merungut. Ada rakan saya berkata: “Kita nak tolong dia supaya selamat daripada riba, dosa dan azab alam barzakh sedaya mampu berlandaskan panduan ulama, kita pula dimarahi.” Namun itulah sunnah dalam mencegah kemungkaran dan mengajak kebaikan. Perjuangan sukar dianggap sebagai perjuangan tanpanya.


  • KELUAR MULUT HARIMAU, MASUK MULUT BUAYA Tidak dinafikan ada juga yang berhujah tetapi ibarat kata pepatah: “Keluar mulut harimau, masuk mulut buaya.” Sebagai contoh dalam isu skim cepat kaya Internet.


    Selepas saya berhujah dan kemudian difatwakan haram secara rasmi oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, pesertanya yang dulu terjebak kini mula sedar, namun akibat berterusan dalam tahap ilmu yang cetek, akhirnya mereka terus terpesona pula dengan beberapa skim lain.


    Sedangkan ia juga skim cepat kaya dan piramid yang haram, cuma sekadar berubah nama dan sedikit bentuknya. Malangnya perubahan sebegitu pun tidak dapat mereka kenali dan akhirnya terus terperangkap di dalam mulut buaya, selepas terselamat dari mulut harimau.


    Keadaan ini akan berterusan sehingga individu berkaitan melengkapkan dirinya dengan ilmu dan kesedaran yang cukup. Akhirnya ramai mendesak untuk saya mengulas lagi dan apabila saya menulis, sekali lagi individu sama meneruskan cercaan dan makiannya.


    Sehingga ia bertemu pula skim lain yang boleh menggantikannya. Begitulah berterusan. Tidak mengapa, saya sudah lali dengan keadaan seperti itu dan setiap kali saya menulis sesuatu hukum berkaitan urus niaga baru, saya faham ia hanya pendapat peribadi saya, bukan fatwa dan ia tidak mengikat sesiapa.


    Masing-masing boleh mengkaji dan membaca ulasan saya dan kemudian membuat penilaian sendiri. Kemudian, ia urusan anda dengan Allah SWT. Saya hanya cuba menggunakan sedikit ilmu kurniaan Allah SWT disulami dengan niat baik untuk menyelamatkan umat daripada dosa riba.


    Itu tugas saya sebagai orang yang belajar, khalifah Allah di muka bumi dan juga sebagai ahli akademik. Saya tidak mahu menjadi ahli akademik yang hebat dengan kajian dan tulisan bertahap tinggi yang tidak mampu difahami oleh 90 peratus manusia, sedangkan ramai manusia di luar sana terbiar dalam kegelapan.


    Saya berusaha menjadi ahli akademik yang mampu menyumbang kepada manusia ramai yang 90 peratus biar pun tulisan dan hasil kajian ini tidak sama sekali ditulis pada tahap tinggi ahli akademik, lagi tidak dipandang tinggi oleh 10 peratus ahli akademik yang asyik berfikiran tinggi. Dengan tulisan dan kajian saya, mungkin saya silap dan mungkin saya benar.


    BERSAMBUNG MINGGU DEPAN



  • Ganjaran solat sepertiga malam



    2010/03/14

    SESEORANG dapat mendekatkan dirinya dengan Allah SWT menerusi solat. Antara solat sunat yang amat digalakkan ialah yang dilakukan pada sepertiga malam.

    Allah SWT berfirman dalam Surah al-Israa, ayat 79: “Dan bangunlah sebahagian daripada waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajud padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” Dalam ayat itu Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW melaksanakan solat malam atau qiamullail, namun ramai antara kita memandang remeh perintah berkenaan.


    Meskipun sifatnya ini khusus untuk Rasulullah SAW, ia adalah amalan sunat buat umatnya memandangkan kita dianjurkan mencontohi keperibadian baginda.


    Maksud qiamullail ialah mendirikan (qiam) malam (lail) atau bahasa mudah, menghidupkan malam dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT.


    Selain itu ada juga beberapa solat malam seperti sunat istikharah, tahajud, taubat, tasbih dan sebagainya.


    Selain melakukan solat sunat, kita digalakkan membaca al-Quran, berdoa, berzikir dan beristighfar untuk memohon keampunan daripada Allah SWT.



    Membaca al-Quran juga adalah ibadat yang diberi ganjaran sangat besar kerana setiap huruf yang dibaca akan digandakan 10 kebajikan.


    Sabda Rasulullah SAW: “Bacalah olehmu al-Quran kerana pada hari akhirat ia akan memberikan syafaat kepada pengamalnya.” (hadis Riwayat Muslim) Antara surah yang baik untuk dibaca ialah surah Yaasin kerana ia ibarat jantung al-Quran, al-Ala (surah yang sangat digemari Rasulullah SAW), al-Fatihah (pokok atau ibu al-Quran), al-Kahfi (tempat naungan pada hari akhirat), as-Sajadah (digemari Rasulullah SAW), al-Mulk (memberi syafaat di akhirat), an-Nas dan al-Falaq (memberi perlindungan pada hari akhirat).


    Ada beberapa ayat dalam al-Quran mengesahkan betapa besar keutamaan solat malam itu. Allah SWT menjelaskan, mereka yang menjaga solat malam itulah sebenarnya yang berhak dan layak menerima kebaikan sebagaimana firman-Nya: “Hai orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah (untuk bersembahyang) pada malam hari kecuali sedikit (daripadanya), (iaitu) seperduanya atau kurangilah daripada seperdua itu sedikit, atau lebih daripada seperdua itu sedikit. Dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan.” (surah al-Muzzammil: 1-4) Saidatina Aisyah RA ada meriwayatkan: “Bahawa Rasulullah SAW bangun sebahagian daripada malam bersembahyang hingga bengkak kedua-dua kakinya, maka aku (Aisyah) berkata kepada baginda: “Mengapa Rasulullah lakukan itu semua, bukankah dosa tuan diampunkan oleh Allah SWT sama ada yang terdahulu atau yang terkemudian.” Baginda menjawab: “Salahkah aku menjadi hamba-Nya yang bersyukur.”



    Penasihat syariah perlu



    2010/02/21

    “UNTUK pengetahuan ustaz, penghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ini adalah kawan saya ketika di universiti dulu. Kini beliau dianggap berjaya dalam MLM kerana pendapatan beliau untuk setahun mencapai jutaan ringgit dan terpilih menganggotai Kelab Jutawan Eksekutif.

    Pada mulanya saya tertarik dan berminat untuk menyertai MLM di bawah beliau, tetapi selepas saya membaca penerangan ustaz di dalam blog dan bertanya beberapa ustaz lain, rasanya perniagaan sebegini mungkin boleh menjadi haram.


    Ini kerana terlalu banyak unsur ‘gharar’ yang ahli MLM tidak mahu mengaku dan menyalahkan ustaz pula kerana tidak memahami perniagaan MLM yang sebenar.


    Saya tidak minta ustaz untuk ulas panjang isu ini (kerana ustaz jelaskan panjang lebar dalam blog), cuma saya nak tahu, betulkah ustaz menjadi penasihat kepada satu syarikat MLM yang saya rasa sebenarnya tidak menjadi kesalahan pun.


    Saya rasa maklumat ini disalahgunakan apabila ahli MLM menggunakan maklumat ini untuk menghalalkan apa yang mereka lakukan sekarang.” — Fauzi (melalui e-mel)

    JAWAPAN:
    Ya benar, saya menyemak dan dilantik menjadi penasihat syariah kepada sebuah syarikat MLM bersama ustaz Dr Zahazan Mohammad. Pertamanya, saya memahami MLM sejak lama dulu kerana beberapa belas tahun lalu saya pernah menyertai MLM sebagai ahli.


    Cuma, menurut kefahaman dan pandangan saya, perlu diingat, perniagaan yang dijalankan oleh syarikat MLM berkenaan ada perbezaannya dengan kebanyakan MLM lain.



    Yang diperlukan adalah semua MLM ini WAJIB MELANTIK PENASIHAT SYARIAH yang berwibawa SECARA RASMI dan diwarwarkan secara RASMI juga.


    Mereka juga tidak boleh melantik mana-mana ustaz biasa yang bukan pakar di dalam fiqh muamalat dan aplikasi kewangan moden.


    Justeru, maksud saya ‘berwibawa’ dalam saranan saya di atas adalah merujuk kepada ahli penasihat syariah itu mestilah pakar yang dikenali di dalam bidang fiqh muamalat dan terbukti melalui pengalaman boleh memahami struktur kewangan moden.


    Ia penting bagi memastikan tidak ada proses ‘tangkap muat’ sebagai jalan pintas. Ustaz berkenaan juga mestilah boleh dan jelas kefahaman di dalam Bahasa Arab dan Inggeris kerana biasanya kontrak dibuat di dalam Bahasa Inggeris (jika berkaitan).


    Kemudian, penasihat syariah itu mesti menjalankan tugasnya secara bebas ketika membuat semakan, pembetulan dan audit sistem pemasaran juga pelan komisen serta bonus yang sedia ada selain membaca dan meneliti borang permohonan selain kontrak secara jelas.


    Mesti menyemak syarat dan rukun setiap kontrak dipenuhi serta turutan semasa pelaksanaannya dibuat dengan betul. Jika bagi mana-mana MLM yang lama bertapak, proses itu mungkin memakan masa beberapa minggu atau bulan memandangkan ia sudah lama berniaga dan bergerak.


    Berbeza dengan MLM yang mana saya terbabit dalam prosesnya sebelum ia dilancarkan lagi. Keadaan itu lebih banyak memudahkan proses semakan dan pembetulan.


    Hanya selepas pembetulan dan pemulihan dibuat serta diberi pengesahan rasmi, baru sesuatu MLM itu boleh diwarwarkan sebagai harus, patuh Syariah atau HALAL.


    Ringkasnya, ia bukan proses mudah dan sewenang-sewenangnya didakwa mempunyai penasihat syariah dan kemudian mendakwa sudah dicop halal.


    Bagi syarikat MLM yang mana saya terbabit didalamnya, saya membabitkan diri sejak awal lagi; daripada proses rangka pelan hingga siap untuk dilancarkan, kontraknya saya teliti dan perbetul, begitu juga borang, syarat serta bahasa untuk bahan sebarannya. Proses ini megnambil masa dua tahun.

    Pun begitu, tiadalah saya mahu mendabik dada ia yang terbaik, saya dan ustaz Zahazan sentiasa menerima apa-apa pandangan membina dan berkualiti. Jika benar ada yang kami ‘terlepas pandang’, ia pasti akan diubah. Insya-Allah.


    BEZA ‘PENASIHAT SYARIAH’ DAN ‘AHLI’
    Selaku penasihat syariah, mereka mesti mempunyai laluan kepada pemilik atau Pegawai Eksekutif Syarikat (CEO) sesuatu MLM itu dan diberi hak untuk menegur dan memperbetul secara bebas.


    Bagi syarikat MLM membabitkan saya, itu juga yang saya punyai iaitu laluan terus kepada pemiliknya. Jika ada apa-apa yang tidak dipersetujui menurut pertimbangan hukum, saya boleh dengan segera melontarkan pindaan kepada mereka untuk tindakan segera.


    Inilah situasi yang mana-mana MLM lain perlu ada. Itu juga fungsi dan laluan yang dimiliki Penasihat Syariah di Institusi Kewangan Islam seluruh dunia. Kita perlu jelas, Penasihat Syariah perlu mempunyai terma rujukan dan bidang kuasanya yang tersendiri serta KUASA KHAS untuk membuat pindaan sesuatu yang didapati kurang tepat daripada sudut hukum.


    Sehingga kini kita masih menunggu banyak syarikat MLM yang tidak mengambil berat soal hukum dan kesahihan pelannya.


    Perlantikan rasmi penasihat syariah perlu dibuat, SELAGI BELUM ADA PENGUMUMAN RASMI DARI MANA-MANA SYARIKAT MLM dan TIADA PENGESAHAN RASMI DARI MAJLIS SYARIAHNYA berkaitan status MLM mereka, selagi itu mana-mana dakwaan mengatakan mereka menepati hukum Syariah adalah tidak terpakai dan meragukan.


    Syarikat MLM juga tidak boleh tangkap muat atau hanya bertenggek atas nama ustaz tertentu yang masuk sebagai ahli, pengedar serta aktif dalam skim mereka lalu dianggap KONONNYA ustaz berkenaan sudah memberi pengesahan daripada sudut hukum Islam. Itu tidak boleh sama sekali.


    Mana-mana ilmuan syariah atau ustaz yang menyertai sesebuah MLM sebagai AHLI atau Pengedar yang ‘mencari pendapatan tambahan’ dalam sistem itu, peranan dan kemampuan mereka AMAT berbeza dengan SEORANG Penasihat Syariah.


    Ini kerana, penasihat syariah dilantik dan mempunyai peruntukan kuasa untuk mengubah dan meminda selain hak laluan kepada dokumen dan sistem MLM berkenaan. Ahli dan pengedar biasa tidak punyai keistimewaan dan kuasa sedemikian.


    BERLEPAS DIRI
    Saya juga berlepas diri daripada sebarang usaha mengaitkan saya dengan MLM lain dan daripada dakwaan kononnya pengesahan saya kepada syarikat MLM yang membabitkan saya secara automatik menjadi pengesahan kepada sistem MLM lain.


    Saya hanya menyemak MLM berkenaan dan apa-apa persamaan MLM lain yang secara zahirnya kelihatan seolah-olah sama dan wujud pada sistem MLM membabitkan saya itu TIDAK SAMA SEKALI membuktikan saya mengesahkan sistem MLM lain secara automatik.


    Zahir pelan perniagaan mungkin kelihatan sama tetapi untuk mengesahkan, banyak penelitian lain perlu diambil kira, kontrak, rukun, syarat, pelaksanaan hatta iklan dan cara promosinya.


    Kerana itu saudara dapat melihat promosi rasmi dari pihak MLM yang saya sertai TIDAK memancing ahli dan peserta melalui KEKAYAAN, HARTA, KERETA, DUIT sebagai fokus asas tetapi adalah mempromosi ilmu Islam dan mengajak untuk menyebarkannya sebagai ASAS.


    Pendapatan tambahan adalah sampingan, sesuai dengan fungsi wang dan harta sebagai hiasan dan alat untuk mencapai reda Allah SWT saja. Itulah nilai yang kita cuba terapkan di dalam diri semua pesertanya.


    Akhir sekali, sebagai menjawab e-mel, pengesahan saya hanya khusus kepada MLM yang saya dipertanggungjawabkan, ia tidak sama sekali terpakai untuk yang lain.



    Harga diri ditentukan oleh takwa, iman



    2010/01/10

    APAKAH perbezaan taraf hidup menentukan harga atau nilai kehidupan manusia. Itulah persoalan sering dibincangkan secara serius oleh banyak pihak. Walau apa sekalipun keputusannya, taraf hidup tetap mempunyai pengaruh besar dalam menentukan nilai kehidupan manusia.

    Hari ini, secara mudahnya, darjat kehidupan manusia dibahagikan kepada beberapa golongan iaitu kaya, pertengahan, miskin dan terpinggir.

    Berdasarkan pemerhatian, sudah menjadi adat kehidupan, golongan berpendapatan tinggi serta berpangkat mendapat sanjungan manakala yang miskin juga terpinggir sering mendapat laluan sukar dan terpaksa berhempas pulas mencari kesenangan hidup.

    Akhirnya, ada golongan mengambil kesempatan terhadap yang terkebelakang lalu mereka ditindas, dianiaya, dizalimi dan pelbagai perkara negatif lain.

    Firman Allah SWT dalam surah asy-Syura ayat 42: “Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar.

    “Mereka itulah orang yang beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya,”. Hakikatnya, Allah SWT memberikan kita banyak kesempatan dan pelbagai lagi tanpa kita pinta tetapi jarang mensyukurinya kerana segelintir daripada kita merasakan ia hasil penat lelah sendiri.

    Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang diberi suatu kebaikan hendaklah ia mengingatinya, sesiapa yang mengingatinya ia dianggap bersyukur. Sesiapa yang tidak mengenang budi yang diberi dianggap sebagai kufur nikmat,” (Hadis Riwayat at-Tabrani).

    Oleh itu, walau setinggi mana darjat seseorang atau semewah mana mereka, jika tidak bersyukur, memandang hina golongan yang dianggap tidak setaraf dan sebagainya, ia tetap tidak bererti di sisi Allah SWT.

    Kita bertanggungjawab dan perlu bersifat amanah sepenuhnya terhadap kehidupan manusia atau nasib diri kita sendiri. Harga dan nilai sebenar kemuliaan seseorang tidak terletak pada taraf kekayaan atau kebesaran pangkat kerana ia hanya sementara.


    Dalam Islam, harga diri adalah berdasarkan ketakwaan dan keimanan. Sifat ketakwaan itu akan menentukan nilai dan harga diri seseorang mulia di sisi masyarakat dan Allah SWT sepanjang masa.

    Rasulullah SAW bersabda: “Tidak mungkin berkumpul iman dan kufur dalam jiwa seseorang dan juga tidak mungkin pula bersatu sifat jujur dan dusta padanya sekali gus sebagaimana tidak mungkin bersama sifat khianat dan amanah padanya dalam satu masa,” (Hadis Riwayat Ahmad)




    No comments: