Sunday, March 14, 2010

MASALAH SUNNAH

Persoalan Agama: Sujud dulukan lutut adalah Sunnah


Oleh Ustaz Zahazan Mohamed

2010/03/10

Amalan tangan didahului ketika turun boleh diamal jika yakin dengan hujah


Soalan:
SAYA ada kemusykilan mengenai cara turun untuk sujud. Ini kerana saya diberitahu ada pendapat mengatakan perlu turun dengan lutut terlebih dulu, manakala ada pula pendapat perlu turun dengan tapak tangan mendahului lutut kerana dikatakan bahawa turun dengan lutut ini menyamai cara unta duduk. Oleh itu, saya ingin meminta penjelasan mengenai perkara ini.


SOLIHIN.

Jawapan:
MENGENAI soalan saudara, saya ingin memetik sebuah buku yang ditulis oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman yang bertajuk Formula Solat Sempurna sangat baik untuk dimiliki. Persoalannya ialah adakah lutut atau tangan yang perlu mencecah tanah terlebih dulu ketika turun untuk sujud? Terdapat perbezaan ijtihad ulama yang agak besar dalam meneliti kekuatan hadis dalam bab ini. Antara dua pandangan yang ketara perbezaannya ialah:

Pendapat pertama: Turun tangan dulu.

Kumpulan ulama ini bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dan al-Dar Quthni yang bermaksud: “Nabi SAW meletakkan kedua-dua tangannya ke bumi sebelum dua lututnya.”

Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud: “Apabila seseorang kamu sujud, maka janganlah kamu turun seperti turunnya unta, hendaklah kamu meletakkan kedua-dua tanganmu sebelum lututmu.”


Ulama yang menyokong meletakkan tangan dulu ialah Imam Malik, Imam al-Awza’ie dan satu pandangan Imam Ahmad dan ramai ahli hadis termasuk Nasiruddin al-albani, sudah sabit daripada perbuatan Ibn Umar ra dan beliau mengkhabarkan bahawa Rasulullah SAW melakukannya. Imam al-Bukhari juga berpandangan demikian.


Syeikh Ahmad Syakir seorang ahli hadis kontemporari mentarjihkan hadis Abu Hurairah (letakkan tangan dulu) kerana hadis qawli diutamakan daripada hadis fe’li.





Pendapat kedua


Ibn Qayyim menyebut Nabi SAW meletakkan kedua-dua lututnya dulu sebelum tangannya, kemudian dahinya dan hidungnya. Ini yang sahih diriwayatkan Syuraik bin Abdullah al-Nakha’ie, daripada ‘Asim bin Khulaib, daripada ayahnya, daripada Wail bin Hujr yang bermaksud: “Aku sudah melihat Rasulullah SAW apabila sujud, meletakkan kedua-dua lututnya sebelum tangannya dan apabila bangkit mengangkat kedua-dua tangannya sebelum lutut.”


Hadis Syuraik agak kurang kuat. Bagaimanapun, Syeikh Syu’aib Arnout berkata: “Majoriti ahli ilmu memakai hadis ini dan beramal dengannya. Imam Syafie dan mazhab Syafie mengutamakan lutut dulu, demikian adalah pendapat majoriti ulama.

Ibn Munzir berkata ia juga pandangan Umar al-Khattab, juga Sufyan al-Thawry, Ishaq Rahawaih dan mazhab Hanafi.


Ibn qayyim menguatkan hujahnya dengan menjelaskan bahawa unta apabila ingin turun, ia akan meletakkan tangannya dulu, dan kakinya kekal berdiri.


Apabila bangkit, ia akan bangkit dengan kaki dulu. Inilah yang dilarang oleh Nabi SAW, dan kita diperintah untuk menyalahi unta tadi dan sesiapa yang mengamati bagaimana unta turun atau duduk, ia akan mengetahui sesungguhnya hadis wail adalah tepat.


Kesimpulannya, Imam Nawawi berkata: “Tidak nyata pada pandanganku pendapat yang lebih kuat.”


Majoriti mazhab berfatwa untuk mendahulukan lutut adalah sunnah, kemudian tangan, dahi dan hidung. Apabila ingin bangkit, tangan dulu kemudian lutut.”


Penulis dalam buku ini berpendapat kedua-dua cara ini boleh diikuti terutama jika mempunyai lebih keyakinan dengan hujahnya.


Pendapat peribadi penulis lebih cenderung kepada pandangan menurunkan lutut terlebih dulu. Wallahualam.

No comments: