Sunday, March 14, 2010

MASALAH SUNNAH PERKAHWINAN

Ulul Albab: Hukum khusus bagi Nabi tak boleh dikongsi


Oleh Abdurrahman Haqqi

2010/03/14

Pernikahan Rasulullah dengan Aisyah yang di bawah umur dijelas dalam Surah al-Ahzab

IMAM al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya, al-Jami’ li Ahkam al-Quran yang berjumlah 20 jilid besar itu menyatakan: “Perkara ke 16, Allah SWT mengkhususkan untuk Rasul-Nya hukum hakam syarak yang tidak dikongsi oleh umatnya sama ada yang berkaitan dengan hukum wajib, haram mahupun halal sebagai kelebihan Baginda di atas umatnya. Ada hukum yang diwajibkan ke atas Baginda tetapi umatnya tidak diwajibkan; begitu pula ada yang diharamkan ke atas Baginda sedangkan ia tidak diharamkan ke atas umatnya; dan ada juga perkara yang dibenarkan untuk Baginda, manakala umatnya tidak dibenarkan melakukannya.

Bagaimanapun, hukum-hakam ini ada yang disepakati oleh ulama mengenainya dan ada juga perbezaan di kalangan mereka.” (Jld 14 m.s 211). Kemudian al-Qurtubi dalam dua muka surat berikutnya menyenaraikan kewajipan, larangan dan kebenaran yang khusus untuk Junjungan berkenaan yang disebutkan perkara yang wajib ada sembilan, perkara yang haram ada 10 dan perkara yang dibenarkan ada 16. Perbincangan hukum-hakam syarak yang khusus untuk Nabi ini dibincangkan oleh al-Qurtubi ketika dia membahaskan tafsir ayat 50 Surah al-Ahzab yang bermaksud: “Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isterimu yang engkau berikan mas kahwinnya, dan hamba perempuan yang engkau miliki daripada apa yang dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang; dan (Kami telah halalkan bagimu berkahwin dengan sepupumu iaitu): anak perempuan bapa saudaramu (daripada sebelah bapa) serta anak perempuan emak saudaramu (daripada sebelah bapa), dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (daripada sebelah ibu) serta anak perempuan emak saudaramu (daripada sebelah ibu) yang telah berhijrah bersama-sama denganmu; dan (Kami telah halalkan bagimu) mana-mana perempuan yang beriman yang memberikan dirinya kepada Nabi (untuk dikahwininya dengan tidak membayar mas kahwin) kalaulah Nabi suka berkahwin dengannya; perkahwinan yang demikian adalah khas bagimu semata-mata, bukan bagi orang yang beriman umumnya; Sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada orang mukmin mengenai isteri mereka dan hamba perempuan yang mereka miliki supaya tidak menjadi keberatan bagimu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Dalam ayat di atas yang menerangkan hukum penghalalan perkahwinan bagi Nabi yang disenaraikan ada disebut dengan jelas ‘perkahwinan yang demikian adalah khas bagimu semata-mata, bukan bagi orang yang beriman umumnya’. Bunyi asal ayatnya ’khalishatan lak’ (khas bagimu semata-mata). Ketika mentafsir kata-kata ini, al-Qurtubi dan ahli tafsir yang lain menyatakan bahawa ia khas untuk kahwin hibah iaitu perempuan datang kepada Nabi menyerahkan dirinya untuk dinikahi Baginda tanpa wali, dua orang saksi dan mahar.

Jika Baginda berkenan maka sahlah perkahwinan itu. Konteks ayat tidak melarang kita untuk memahami bahawa ‘khas bagimu semata-mata’ boleh dikeluarkan hukum yang menetapkan ada perkara yang khas untuk Nabi saja dan umat Islam tidak berkongsi di dalamnya.

Walaupun tidak disenaraikan Imam al-Qurtubi dalam 16 perkara yang dihalalkan bagi Nabi tetapi penetapan kesaksian seorang sahabat Baginda bernama Huzaimah sama dengan kesaksian dua orang saksi juga menjadi hukum khas bagi Nabi, orang lain tidak berkongsi dengannya. Perkara ini tidak ada yang mempertikaikan, semua ulama bersepakat mengenainya. Jadi tidak timbul sebarang permasalahan.
Ada satu pertanyaan yang boleh ditimbulkan di sini iaitu mengapa ulama tidak menyatakan bahawa perkahwinan dengan anak di bawah umur adalah dilarang oleh agama dengan pengertian bahawa perkahwinan berkenaan haram hukumnya dan tidak sah serta orang yang melakukan demikian akan berdepan dengan undang-undang negara dan agama?

Sedangkan hujah yang diguna pakai dalam membenarkan perkahwinan berkenaan dengan merujuk kepada kisah perkahwinan Nabi dengan Aisyah ra boleh kita tafsirkan semula dengan melihat kepada falsafah hukum syarak dan konsep ajaran Islam yang umum serta prinsip asasnya yang adil, fleksibel dan sesuai sepanjang masa.

Antaranya kita boleh berhujah bahawa perkahwinan Nabi dengan Aisyah adalah khas untuk Nabi yang tidak boleh dikongsi oleh umatnya seperti yang kita sebutkan di atas asal permasalahannya.

Penghujahan ini diselarikan dengan penerimaan bahawa hadis mengenai umur Aisyah ketika berkahwin dengan Nabi adalah sahih. Tetapi kalau mahu dikaji semula, maka sememangnya ada yang meragui Saidatina Aisyah dikahwinkan di bawah umur.

Jika yang terakhir ini kita pilih, permasalahan akan mudah diselesaikan iaitu dengan cara menggunakan perundangan negara yang menetapkan batas umur dibenarkan perempuan berkahwin. Ketetapan ini wajib ditaati oleh umat Islam sebagai pelaksanaan atas ajaran Islam yang mewajibkan kita taat kepada ulil amri, manakala jika yang pertama dipilih maka permasalahan sememangnya tidak pernah wujud kerana agama pada dasarnya melarang perkahwinan dengan perempuan di bawah umur.

Di samping dalil syarak yang menetapkan demikian dengan jelas, begitu pula dalil akal menguatkan apa yang ditetapkan syarak dengan jernih seperti pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah tetapi kalau dalil nafsu yang dikedepankan, maka yang baik akan menjadi buruk dan yang buruk akan menjadi baik seperti pegangan ahli hawa nafsu. Wallahualam.

No comments: