Sunday, March 28, 2010

Persoalan Agama

Persoalan Agama: Islam benar berhutang untuk kahwin


Bersama Ustaz Zahazan Mohamed

2010/03/28

APAKAH hukumnya lelaki yang terpaksa berhutang bagi menanggung bayaran wang hantaran. Bagaimana pula hukumnya jika lelaki menyarungkan cincin tunang pada majlis pertunangan, malah majlis pertunangan itu dibuat meriah, lengkap dengan pelamin seperti majlis perkahwinan.

Ameera,

Ampang HUTANG hukumnya harus. Islam meletakkan peraturan untuk kemaslahatan. Keharusan berhutang ini berdasarkan firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Apabila kamu melakukan hutang piutang untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menulisnya”. (Surah al-Baqarah ayat 282)
Menurut Ibn Kathir, ini adalah nasihat dan bimbingan Allah SWT bagi hamba-Nya yang beriman, jika mereka melakukan muamalah secara tidak tunai, hendaklah mereka menulisnya supaya dapat menjaga jumlah dan batas waktu muamalah, serta lebih menguatkan bagi saksi.

Apabila kita mempunyai kemampuan untuk membayar kembali, janganlah kita menangguh seperti sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Menangguhkan orang yang mampu adalah suatu penganiayaan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bagi soalan kedua, mengadakan majlis pertunangan adalah harus tetapi perlu menjaga adab supaya tidak terjerumus kepada perkara haram. Antaranya, tidak berlaku percampuran lelaki dan perempuan, tidak berlaku pembaziran dan seumpamanya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang boros itu saudara syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhan-Nya.” (Surah al-Israk ayat 27)
Sesungguhnya pesanan dalam Al-quran dan Hadis berfaedah sekiranya iman dan takwa ada dalam diri seseorang. Wallahualam.

Allah SWT memperingatkan hal itu pada akhir ayat iaitu firman-Nya yang bermaksud: “Yang demikian itu lebih adil di sisi Allah dan lebih dapat menguatkan persaksian dan lebih dekat kepada tidak (menimbulkan keraguanmu).





Persoalan Agama: Hindari hal syubahah elak terjerumus perkara haram


2010/03/28

KITA sekali lagi berdepan masalah halal sesebuah restoran seperti yang berlaku baru-baru ini. Akibatnya, saya sering berasa ragu-ragu atau was-was mengenai makanan dan kebersihan restoran. Ada rakan mengaitkan masalah ini sebagai syubahah. Bolehkan ustaz jelaskan mengenai syubahah ini.

Mohd Ali

Tanjung Malim, Perak DALAM Kitab Riadus Solihiin, Imam an-Nawawi ada meletakkan suatu bab yang bertajuk warak dan meninggalkan syubahah. Antara hadis yang terkandung dalam bab ini ialah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada an-Nu’man bin Basyir r.a, beliau berkata: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya yang halal itu sudah jelas dan yang haram juga sudah jelas, sedangkan di antara halal dan haram itu ada hal syubahah (samar-samar dan meragukan) yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Barang siapa yang berhati-hati daripada hal yang syubahah itu, maka terjagalah agama dan kehormatannya. “Dan barang siapa terjerumus ke dalam hal-hal syubahah, maka bererti ia terjerumus ke dalam hal yang haram. Ingatlah di dalam tubuh ada segumpal daging, bila segumpal daging itu baik, maka baiklah seluruh tubuh. Dan bila segumpal daging itu rosak, maka rosaklah seluruh tubuh. Gumpalan daging itu adalah hati.” (HR Bukhari dan Muslim)
Hadis berkenaan jelas melarang kita mendekati perkara syubahah seperti daripada al-Hasan bin Ali, beliau berkata: “Rasulullah SAW bersabda:

“Tinggalkan apa yang kamu ragui dan kerjakan apa yang tidak kamu ragui.” (Riwayat al-Tirmizi)

Orang yang dapat menahan dirinya daripada mengambil benda syubahah disebut sebagai warak.




Persoalan Agama: Perlu sujud sahwi jika lupa lakukan tahiyyat awal


Bersama Ustaz Zahazan Mohamed

2010/03/28

ADA rakan saya yang menunaikan solat Zuhur dan Asar tetapi dia meninggalkan tahiyyat awal iaitu terus bangun selepas rakaat kedua. Saya menegurnya mengenai perkara ini dan dia menjawab bahawa tahiyyat awal itu adalah sunat. Apakah pandangan ustaz mengenai perkara ini, adakah ia benar.

AHA

Kulim, Kedah DI SINI saya ingin memetik buku Indahnya Hidup Bersyariat ditulis oleh Datuk Ismail Kamus yang seharusnya ada di setiap rumah orang Islam sebagai panduan mudah dalam melaksanakan ibadat.Di dalam solat, ada dua jenis sunat iaitu pertama, sunat Hai’ah dan kedua, sunat Ab’adh.
Sunat Ab’adh adalah sunat yang dikuatkan, yang seandainya terlupa mengerjakannya maka disunatkan sujud sahwi. Ia mengandungi tujuh perkara iaitu tahiyyat awal, selawat dalam tahiyyat awal, duduk tahiyyat, doa qunut dalam solat Subuh, selawat dalam qunut, berdiri ketika qunut, selawat ke atas keluarga Nabi ketika tahiyyat akhir.

Justeru, tahiyyat awal yang saudara maksudkan itu jika ditinggalkan tidaklah membawa kepada batal solat tetapi perlu melakukan sujud sahwi menurut mazhab Syafie.

Manakala sunat Hai’ah pula sunat yang apabila ditinggalkan, tidak perlu melakukan sujud sahwi. Ada 14 perkara, antaranya mengangkat tangan ketika takbir, membaca doa iftitah, membaca A’uzubillah (Taawuz), membaca ‘Amin’ selepas al-Fatihah dan sebagainya.
Dalam kitab Bulughul Maram oleh Ibn Hajar al-Asqalani meletakkan satu bab Sujud Sahwi dan memetik hadis, daripada Abdullah bin Buhainah, bahawasanya Nabi SAW pernah bersolat Zuhur berserta mereka, lalu Baginda berdiri sesudah dua rakaat yang pertama, (iaitu Baginda tidak duduk tahiyyat awal), maka orang pun berdiri bersertanya, hingga apabila selesai solat dan orang-orang tunggu untuk salam. Baginda bertakbir sambil duduk dan Baginda sujud dua kali sebelum Baginda memberi salam.” Wallahualam.

No comments: