Tikam isteri minta cerai
harzrul@hmetro.com.my
2010/02/17
MUAR: Mulanya cuma pertelingkahan biasa rumah tangga sebelum meleret-leret hingga membawa kepada permintaan cerai menyebabkan si suami naik angin.
BUKTI...Mohamad Nasir menunjukkan pisau yang digunakan suspek untuk menikam isteri dan dirinya.
Lebih tragik, kejadian tikam menikam di sebuah stesen minyak di pekan Pagoh, dekat sini, itu disaksikan orang ramai.
Dalam kejadian jam 11.40 malam kelmarin, lelaki berusia 41 tahun berkenaan yang dipercayai mabuk semakin hilang akal apabila isterinya berusia 37 tahun meminta cerai ketika mereka bertelingkah.
Pasangan yang mempunyai tiga anak berusia lima hingga 18 tahun itu bergaduh di rumah mereka, tidak jauh dari stesen minyak berkenaan.
Berikutan tidak mahu pertengkaran itu dilihat anak mereka, si isteri keluar rumah sebelum dikejar suaminya yang berang dengan tindakan wanita berkenaan.
|
Difahamkan, si isteri meminta cerai berikutan tidak tahan suaminya kaki botol sejak beberapa tahun lalu hingga menyebabkan rumah tangga mereka porak-peranda.
Malah, lelaki itu tumbang beberapa kali ketika mengejar isterinya berikutan di bawah pengaruh alkohol sebelum menikam wanita itu di dada. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, berkata ketika pergaduhan, wanita terbabit keluar dari rumah dan terus ke sebuah hentian bas berhampiran stesen minyak itu, sebelum dikejar suaminya menggunakan kereta. “Selepas dipujuk, mangsa memasuki kereta sebelum berlaku satu lagi pergaduhan dipercayai akibat permintaannya untuk diceraikan.
“Mangsa keluar dari kereta dan cuba melarikan diri sebelum suaminya yang berang mengejar dan menikamnya di kanan dada. “Mangsa yang cedera parah, rebah di tempat kejadian manakala suspek yang panik kerana perbuatannya itu disaksikan orang ramai, terus menikam perutnya sendiri menggunakan pisau sama,” katanya di sini, semalam.
Menurut, pasangan berkenaan dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, dekat sini, oleh orang awam yang menyaksikan kejadian berkenaan.
Katanya, mangsa stabil manakala suaminya masih kritikal kerana kecederaan parah di perut.
Hasil siasatan, katanya, polis menemui botol arak dalam kereta suspek dan percaya lelaki yang bekerja sebagai pekerja ladang sawit itu dalam keadaan mabuk ketika kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mendatangkan kecederaan. “Berikutan itu, sesiapa yang melihat kejadian berkenaan diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.
No comments:
Post a Comment