Sunday, February 14, 2010

HADIS 40 AKHIR ZAMAN 7

HADIS 21: AHLI IBADAT YANG JAHIL DAN ULAMA YANG FASIQ


Daripada Anas r.a. berkata, bersabda Rasulullah saw., "Selagi akan ada di akhir zaman
ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasiq". (Riwayat Ibnu Ady)
Keterangan:
Nabi saw. menerangkan di akhir zaman nanti akan ada dua golongan ini. Ada orang jahil
yang rajin beribadat dan ada pula orang alim yang fasiq. Sebenarnya syaitan telah
berusaha sedapat mungkin untuk menyesatkan manusia. Oleh kerana itu ia menggunakan
beberapa cara yang berlainan kepada orang-orang yang berlainan pula. Bagi si jahil,
syaitan selalu menyuruhnya supaya rajin berbuat ibadat, kerana ibadat orang yang jahil
itu tidak sah dan tidak diterima di sisi Allah swt. Syaitan tidak mahu orang jahil itu rajin
mengaji kerana bila ia mengaji ia akan memperbaiki ibadatnya, maka ibadat tersebut
akan diterima oleh Allah swt yang bererti kekalahan di pihak syaitan. Begitu pula halnya
dengan si Alim yang sudah banyak ilmunya. Syaitan akan menyuruhnya malas beribadat
dengan mengemukakan bermacam-macam alasan, sehingga Si Alim ini meninggalkan
kefardhuannya. Maka dengan itu ilmu yang ada di dalam dadanya tidak berfaedah,
bahkan akan menjadi musuh kepadanya pada hari qiamat nanti. Maka itu lah kejayaan
syaitan dalam usahanya. Gejala yang sebegini rupa dapat dilihat di dalam masyarakat
kita, di mana yang rajin beribadat ini adalah orang yang jahil dan yang mengabaikan halhal
ibadat ini pula adalah terdiri daripada orang yang mempunyai ilmu pengetahuan.


HADIS 22: ORANG YANG BERPEGANG DENGAN AGAMANYA


SEPERTI MEMEGANG BARA API
Daripada Anas r.a. bekata, Rasulullah saw. bersabda, "Akan datang kepada umat ku suatu
zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara
api”. (Riwayat Tirmizi)
Keterangan:
Yang dimaksudkan di sini ialah zaman yang sangat mencabar sehingga sesiapa yang
hendak mengamalkan ajaran agamanya ia terpaksa menghadapi kesusahan dan tentangan
yang sangat hebat. Kalau ia tidak bersungguh-sungguh, nescaya agamanya terlepas dari
genggamannya. Ini adalah disebabkan suasana disekelilingnya tidak membantu untuk ia
menunaikan kewajiban agamanya, bahkan apa yang ada disekelilingnya mendorong
untuk membuat kemaksiatan dan perkara-perkara yang dapat meruntuhkan aqidah dan
keimanan atau paling kurang menyebabkan kefasiqan. lni juga bermaksud, orang Islam
tersepit dalam melaksanakan tuntutan agamanya di samping tidak mendapat kemudahan.



HADIS 23: GOLONGAN RUWAIBIDHAH


Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw. bersabda. "Lagi akan datang kepada
manusia tahun-tahun yang tandus (kemarau panjang). Dan pada waktu itu orang yang
berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan
disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang
berpeluang bercakap hanyalah golongan "Ruwaibidhah"”. Sahabat bertanya, "Apakah
Ruwaibidhah itu hai Rasulullah?". Nabi saw. menjawab, "Orang yang kerdil dan
sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai”. (Riwayat Ibnu Majah)
Keterangan:
Zaman yang disebutkan tadi adalah zaman ketandusan. Tandus di segi material dan juga
tandus di segi pemikiran. Orang yang benar akan diketepikan dan orang yang khianat
serta fasiq akan disanjung dan dibesar-besarkan. Orang yang benar tidak diberikan
peluang untuk bercakap. Yang berpeluang bercakap hanyalah peribadi-peribadi yang hina
dan sebenarnya tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah-masalah yang
dihadapi oleh masyarakat.

HADIS 24: PEPERANGAN DEMI PEPERANGAN


Daripada Abu Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah saw. bersabda, "Hari qiamat tidak
akan terjadi sehingga melimpah ruah harta benda dan timbul fitnah (ujian kepada
keimanan) dan banyak berlaku 'al-Harj'". Sahabat bertanya, "Apakah al-Hajr itu hai
Rasulallah"? Nabi saw. menjawab, "Peperangan demi peperangan demi peperangan".
(Riwayat Ibnu Majah)
Keterangan:
Realiti dunia hari ini membuktikan kebenaan sabda junjungan kita Nabi saw. Harta benda
melimpah ruah. Banyak alat-alat moden yang dihasilkan oleh teknologi Barat dan Timur
sehingga bertambah banyak alatan dan keperluan hidup. Maka oleh kerana itu ramai
orang yang berlumba-lumba untuk mengaut keuntungan dalam membuat dan
memperdagangkan alat-alat tersebut. Dan oleh kerana masing-masing tamak dan rakus
maka terjadilah perebutan yang mengakibat berlakunya peperangan demi peperangan.
Dari semasa ke semasa peperangan berkobar dengan tiada henti-hentinya. Padam di suatu
tempat menyala pula ditempat yang lain. Satu sama lain saling cakar mencakari. Semakin
maju teknologi, semakin terseksa manusia kerananya. Sebenarnya teknologi tidaklah
bercanggah dengan Islam, tetapi ia mestilah tunduk kepada etika kemanusiaan yang
didukung oleh Islam itu sendiri. Sedangkan teknologi yang ditaja oleh dunia barat hari ini
adalah berdasarkan kepada kepentingan peribadi dan mengikut telunjuk hawa nafsu yang
rakus sehingga teknologi itu digunakan untuk menghancurkan nilai-nilai kemanusian itu
sendiri. Nampaknya, begitulah keadaan yang berlaku dari umur dunia ini, sehinggalah
sampailah ketitik akhirnya, iaitu qiamat.

No comments: