Lapang dada
2009/12/30
Menyambung perbincangan mengenai perbezaan pendapat di kalangan pakar agama, saya berpendapat ia idak wajar ia dipergaduhkan, sebaliknya memadai dengan kemukakan hujah yang bernas. Jika masih ada pihak tidak dapat menerimanya, berlapang dadalah.
>SAMBUNGAN MINGGU LALU
Menyambung perbincangan mengenai perbezaan pendapat di kalangan pakar agama, saya berpendapat ia tidak wajar ia dipergaduhkan, sebaliknya memadai dengan kemukakan hujah yang bernas. Jika masih ada pihak tidak dapat menerimanya, berlapang dadalah.
BERLAPANG DADA, IKTIRAF USAHA DAN PANDANGAN
Imam Al-Awza’ie ketika ditanya sama ada batal wuduk atau tidak bagi lelaki yang mencium isterinya menjawab: “Jika seseorang bertanya kepadaku, aku akan menjawab, batal dan perlu mengambil wuduk semula, namun sekiranya dia tidak mengambil wuduk, aku tidak akan mengutuknya,” (Tartib At-Tamhid, 3/345).
Imam Ahmad Bin Hanbal pula pernah ditanya sama ada sah atau tidak solat seseorang yang menggunakan kulit musang. Jawabnya: “Jika perbuatannya itu hasil pemahamannya dari nas (apa-apa yang disamak maka sudah menjadi suci), lalu bolehlah solat di belakangnya,” (Al-Mughni,Ibn Qudamah, 2/11).
Maka ditanya: “Adakah engkau juga melihatnya sebagai harus,”.
Imam Ahmad menjawab: “Tidak, kami tidak melihatnya harus, tetapi dia ingin menafsirkannya (menggunakan) nas itu, tiada masalah untuk solat di belakangnya,” (Adab Al-Ikhtilaf, hlm 37).
Al-Qaradawi menegaskan bahawa kewujudan dua pendapat betul dalam satu masalah sememangnya boleh berlaku. Beliau mengatakan, mungkin satu pihak mengambil rukhsah dan yang lain mengambil ‘azimah.
Atau, kedua-dua pihak benar dalam situasi tertentu yang berbeza atau kedua-duanya benar sebagaimana wujudnya qiraat bacaan al-Quran.
Banyak lagi kisah sebegini yang amat baik untuk difahami dan dihayati. Malah hal ini juga boleh berlaku di dalam perihal akidah. Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi menjelaskan dengan terang dan nyata bahawa ilmu akidah itu terbahagi kepada:
a. Usul Akidah: Iaitu ilmu bersumber ayat al-Quran yang tidak terdedah kepada sebarang tafsiran dan takwilan menurut ilmu Usul Fiqh seperti kewujudan Allah SWT, keesaan-Nya, sifat kesempurnaan-Nya dan banyak lagi.
b. Furu’ Aqidah: Ilmu akidah yang bersumber ayat al-Quran dan hadis sahih tetapi terdedah kepada tafsiran dan takwilan yang sesuai menurut kaedah dalam ilmu Usul Fiqh. Ia seperti syafaat di akhirat, melihat Allah SWT di syurga, mentakwil ayat sifat Allah SWT, Imam Mahdi, penurunan Nabi Isa AS dan banyak lagi. (Rujuk Kayfa Nata’amal Ma’a Turath wa At-Tamazhab wal Ikhtilaf, Al-Qaradawi, Maktabah Wahbah, Mesir, 2001, hlm 142).
Justeru, bagi memahami pembahagian ini, perlu difahami sebaik-baiknya ilmu dalalatul ahkam di dalam pengajian ilmu Usul Fiqh.
Saya membawakan hal ini sekadar ingin memaklumkan kepada pembaca bahawa ia, jika tidak dihayati dan difahami dengan sebaiknya, akan mula muncul perasaan ingin menghina dan bermusuh dengan mereka yang berbeza pendapat dengan kita.
Namun ingat, segala perbezaan ini mestilah datang daripada mereka yang berkeahlian. Cuma perdebatan di antara seorang yang alim dengan seorang jahil amat perlu dielakkan kerana ia hanya membuang waktu saja.
Kesimpulannya, dibenarkan untuk menolak hujah pihak lain, namun dalam pada kritikan ilmiah dibuat, jangan lupa mengiktiraf yang pihak lain juga ada niat baik untuk kebaikan Islam.
Saya sering mengingatkan diri saya ketika mengulas isu kewangan dan riba bahawa saya mungkin boleh berada di pihak yang kurang kuat dan tidak kukuh hujahnya.
Justeru, kerap saya katakan: “Pandangan dan tulisan saya tidak wajib ke atas sesiapa untuk mengambilnya, anda bebas untuk menerima atau menolaknya,”. Cuma, jika menolaknya, pastikan ia berdasarkan hujah lebih meyakinkan dan bukan kerana nafsu sendiri.
ADAKAH BOLEH MENCAMPUR MAZHAB?
Bagi orang awam, yang masih keliru, mereka sebenarnya boleh mengikuti ijtihad (pendapat) mana-mana ulama tempatan termasuk imam di masjid tempat mereka tanpa banyak soal.
Tidak timbul isu bahawa mereka akan bermasalah kerana meninggalkan mazhab Syafie yang dipeganginya, khususnya di ketika wujudnya keperluan seperti ketika melakukan haji di Makkah dan bermastautin di negara Barat.
Tatkala itu, keperluan berpindah mengikuti pendapat mazhab lain adalah harus disebabkan kesukaran dan keperluan. Malah sebenarnya, ramai orang awam bukanlah boleh dikira bermazhab Syafie yang komited.
Atau dalam erti kata lain, sebahagian besar orang awam sebenarnya hanya ‘berasa’ atau ‘menyangka’ mereka menuruti mazhab Syafie, sedangkan sebahagian ibadat dan muamalah mereka setiap hari bercampur aduk antara mazhab, hatta ada kalanya terkeluar daripada semua pandangan mazhabi.
Hakikatnya, bagi orang awam dan Malaysia, mazhab Syafie hanya dianggap sebagai rujukan utama atau dijadikan keutamaan dalam memahami nas al-Quran dan hadis, itu saja.
Malah, banyak pendapat mazhab lain diambil juga oleh fatwa Malaysia. Pengambilan pendapat selain Syafie tidak wajar sama sekali diklasifikasikan sebagai pengikut wahabi atau salafi, atau lebih teruk dikatakan terkeluar daripada ahli Sunnah Wal Jama’ah.
Tidak tepat menuduh pandangan ijtihad selain mazhab Syafie adalah wahabi kerana kebanyakan pendapat lain yang diterima pakai sebahagian kelompok individu di Malaysia bukan ijtihad wahabi tetapi daripada kalangan mazhab ahli sunnah yang lain seperti Hanbali, Maliki dan Hanafi.
Sebagai contoh, tidak melakukan qunut Subuh adalah ijtihad mazhab Hanbali dan Hanafi, menggoyangkan jari ketika Tashahhud solat pandangan Maliki, membolehkan memegang anjing tanpa samak ijtihad Maliki, tidak membaca bismillah dengan kuat di awal fatihah ketika solat Maghrib, Subuh dan Isyak ijtihad Hanbali dan Maliki serta banyak lagi.
Isu sebegini kerap disenaraikan sebagai ciri pengikut wahabi. Ini tidak benar kerana wahabi bukan satu mazhab Fiqh atau akidah serta tidak mempunyai takrifan yang khas di kalangan ilmuan Islam sedunia.
Malah, menurut sebahagian pandangan ulama antarabangsa, istilah itu dipelopori musuh Islam dari kalangan bukan Islam untuk memecahbelahkan kesatuan umat Islam.
Memang benar, terdapat ulama moden menggunakan istilah itu di dalam penulisan mereka namun ia merujuk kepada pengikut aliran Muhammad Ab Wahab di Saudi satu ketika lalu, ia bukan sebuah mazhab khas.
BERDAMAILAH
Apapun, kita sebenarnya amat ingin melihat semua pihak terbabit untuk menambahkan sikap lunak dan kebijaksanaan. Benar, keras dan garang mungkin tergolong dalam tindakan paling bijaksana dalam keadaan tertentu cuma kelunakan lebih digemari Rasulullah SAW.
Jangan pula menga
Selain itu, saya berkongsi bahawa ulama silam yang hebat kerap meninggalkan kontroversi dan konfrontasi dengan pegangan ahli agama setempat. Jika ingin membawa perbezaan pendapat sekalipun, sewajarya dilaksana secara berperingkat tanpa menyakitkan sesiapa.
Ali Abi Talib RA diriwayatkan berkata: “Putuskanlah hukuman mengikut apa yang kamu biasa putuskan, sesungguhnya kau tidak gemar kepada perbezaan agar orang ramai boleh terus berada di dalam satu jemaah,” (Tarikh Baghdad, 8/42).
Ahmad Bin Hanbal berkata: “Tidak sewajarnya seorang ahli Fiqh, mendorong orang ramai kepada pegangannya dan berkeras atau memaksanya (menerima pandangannya) ke atas orang ramai,”.
Perbalahan sesama kita hanya menyebabkan kita letih di pertengahan jalan, kerja gagal dijalankan, imej Islam pula yang menjadi semakin buruk.
Firman Allah SWT: “Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar,” (Al-Anfaal: 26).
No comments:
Post a Comment