Monday, February 15, 2010

BILA UNDANG ALLAH DINAFIKAN...KESANNYA...DAN KEMURKAAN HENDAKLAH DIFIKIRKAN...KITA AKAN MATI SERTA AKAN DINTANYA...

Samseng jalanan ambil arak ganti pil kuda

Oleh Taufik Md Daud
bhkt@bharian.com.my

Minuman keras jadi alternatif hilang rasa takut tunggang laju

KUALA TERENGGANU: Selepas pil kuda semakin sukar diperoleh, samseng jalanan di negeri ini dikatakan beralih kepada pengambilan minuman keras bagi membolehkan mereka berkhayal dan menghilangkan rasa takut menunggang laju dan melakukan pelbagai aksi berbahaya di jalan raya.

Dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Sultan Omar di sini, awal pagi semalam, polis menemui sebotol arak yang dipercayai tidak sempat dibuang samseng jalanan berkenaan ketika ditahan.


Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Fauzi Muhammad, berkata polis menemui sebotol arak disimpan dalam beg galas seorang penunggang motosikal dari Taman Setia, Dungun, yang gagal meloloskan diri daripada sekatan jalan raya itu.

"Pemeriksaan awal mendapati penunggang berkenaan berada di bawah pengaruh alkohol dan dia ditahan di bawah Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Dalam kes berasingan, dua lelaki berusia 18 dan 19 tahun dari Kampung Bukit Sura, Marang yang asyik membuat aksi 'wheelly' ditahan di Jalan Sultan Muhammad berhadapan sebuah pusat membeli-belah di sini.

Mohd Fauzi berkata, menyedari tindakan mereka diperhatikan polis, dua remaja itu cuba meloloskan diri ke dalam semak berhampiran tetapi mereka dapat diberkas kira-kira 50 meter daripada tempat kejadian.

"Penunggang berkenaan didapati tidak mempunyai lesen dan motosikal digunakan sudah diubahsuai serta menggunakan nombor pendaftaran tidak dibenarkan," katanya sambil menambah kedua-duanya ditahan di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987 kerana memandu secara merbahaya dan melulu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, dalam operasi dari jam 11 malam hingga 6 pagi kelmarin, seramai 210 penunggang ditahan termasuk tujuh remaja perempuan berusia 16 tahun yang tidak mempunyai lesen memandu.

Katanya, sepanjang tahun ini hingga semalam, sejumlah 8,859 sama telah dikeluarkan di daerah ini yang mana 1,700 daripadanya membabitkan kesalahan memandu tanpa lesen.

Sehubungan itu, katanya, polis meminta kerjasama ibu bapa untuk lebih bertanggungjawab dan memantau pergerakan anak mereka serta melarang anak yang tidak mempunyai lesen daripada menunggang bagi membendung gejala samseng jalanan.

No comments: