Sunday, February 14, 2010

HADIS 40 AKHIR ZAMAN 9

HADIS 31: KETIADAAN IMAM UNTUK SEMBAHYANG BERJEMAAH


Daripada Salamah binti al-Hurr r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda;
"Lagi akan datang suatu zaman, orang ramai berdiri tegak beberapa masa. Mereka tidak
dapat memulakan sembahyang berjamaah kerana tidak mendapatkan orang yang boleh
menjadi imam". (Riwayat Ibnu Majah)
Keterangan:
Walau pun secara pastinya pada hari ini kita belum lagi sampai ke peringkat apa yang
telah disabdakan oleh Rasulullah saw. tadi, namun masyarakat kita sekarang ini sudah
menghala ke sana. Banyak kampung-kampung yang tidak mempunyai Tok Imam yang
benar-benar mampu melaksanakan peranan Imam yang sebenar. Kelihatannya,
masyarakat kita kekurangan kepada ilmu-ilmu syari'at. Mereka yang berilmu pula ramai
yang tidak menghadiri sembahyang berjemaah, maka tinggallah orang-orang yang jahil.
Maka apabila hal ini berpanjangan, pasti pada suatu hari nanti akan sampai juga ke
peringkat keadaan yang telah dinyatakan oleh Rasulullah saw. tadi.


HADIS 32: ULAMA TIDAK DIPEDULIKAN


Dari Sahl bin Saad as-Saaidi r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda; "Ya Allah! Jangan
kau temukan aku dan mudah-mudahan kamu (sahabat) tidak bertemu dengan suatu masa
di mana para ulama sudah tidak diikut lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak
disegani lagi. Hati mereka seperti hati orang Ajam (pada fasiqnya), lidah mereka seperti
lidah orang Arab (pada fasihnya)." (Riwayat Ahmad)
Keterangan:
Mungkin zaman sekarang ini sudah mendekati keadaan yang telah digambarkan oleh
Rasulullah saw. ini. Masyarakat sudah agak jauh dari para ulama. Mereka takut
mendekati para ulama, kerana khuatir perbuatan mereka akan ditegur. Orang tidak segan
lagi membuat maksiat walau pun di hadapan orang yang tinggi akhlaknya. Terkadang,
sengaja perkara maksiat itu dibuat di hadapan para Ulama untuk menyatakan rasa ego
dan sekaligus untuk menyinggung perasaan mereka. Golongan ini juga pandai bercakap
dan sering memutarbelitkan kenyataan. Percakapan mereka begitu halus dan memikat
orang lain pada hal hati mereka adalah hati harimau yang bersedia untuk menerkam dan
memangsa musuhnya.

HADIS 33: ISLAM NAMA SAHAJA


Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. berkata: Telah bersabda Rasulullah saw.; "Sudah hampir
sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam ini kecuali hanya namanya,
dan tidak tinggal daripada Al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka
tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat
makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan
kepada mereka fitnah ini akan kembali". (Riwayat Baihaqi)
Keterangan:
Kalau kita perhatikan dunia Islam pada hari ini, keadaannya tidak begitu jauh dari
gambaran yang telah dinyatakan oleh Rasulullah saw. ini. Kalau belum sampai pun, ianya
sudah mendekati ke sana. Ulama yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah ulama su' yang
menjual agama mereka dengan mata benda dunia, bukan ulama akhirat yang mewarisi
tugas para Nabi dan yang meneruskan penyebaran dakwah dari masa ke semasa.


HADIS 34: AL QURAN AKAN HILANG DAN ILMU AKAN DIANGKAT


Daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda; "Islam akan
luntur (lusuh) seperti lusuhnya corak (warna-warni) pakaian (bila ia telah lama dipakai),
sehingga (sampai suatu masa nanti) orang sudah tidak mengerti apa yang dimaksudkan
dengan puasa, dan apa yang dimaksudkan dengan sembahyang dan apa yang
dimaksudkan dengan nusuk (ibadat) dan apa yang dimaksudkan dengan sedekah. Dan Al-
Quran akan dihilangkan kesemuanya pada suatu malam sahaja, maka (pada esok harinya)
tidak tinggal dipermukaan bumi daripadanya walau pun hanya satu ayat. Maka yang
tinggal hanya beberapa kelompok daripada manusia, diantaranya orang-orang tua, lakilaki
dan perempuan. Mereka hanya mampu berkata, "Kami sempat menemui nenek
moyang kami memperkatakan kalimat "La ilaha illallah", lalu kami pun mengatakannya
juga". Maka berkata Shilah (perawi hadis daripada Huzaifah), "Apa yang dapat dibuat
oleh La ilaha illallah (apa gunanya La ilaha illallah) terhadap mereka, sedangkan mereka
sudah tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan sembahyang, puasa, nusuk, dan
sedekah"? Maka Huzaifah memalingkan muka daripadanya (Shilah yang bertanya).
Kemudian Shilah mengulangi pertanyaan itu tiga kali. Maka Huzaifah memalingkan
mukanya pada setiap kali pertanyaan Shilah itu. Kemudian Shilah bertanya lagi sehingga
akhirnya Huzaifah menjawab, "Kalimat itu dapat menyelamatkan mereka daripada api
neraka" (Huzaifah memperkatakan jawapan itu tiga kali). (Riwayat Ibnu Majah)
Keterangan:
Hadis di atas tadi menerangkan kepada kita bahawa pada suatu masa nanti:
1. Ilmu tentang Islam akan diangkat.
2. Al-Quran juga akan diangkat daripada permukaan bumi ini.
3. Orang ramai hanyalah mengenali beberapa istilah Islam, tetapi mereka tidak
memahami apa yang dimaksudkan dengan istilah-istilah itu.

4. Begitu pula mereka hanya sekadar mampu mengucapkan kalimat "Lailaha illallah",
tetapi mereka tidak memahami apa tuntutan kalimat suci itu terhadap mereka.
Walau bagaimana pun Allah swt. dengan belas kasihannya masih menghargai keimanan
mereka yang sedikit itu dan akan memasukkan mereka ke dalam syurga.


HADIS 35: LIMA BELAS MAKSIAT YANG AKAN MENURUNKAN
BALA



Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. Rasulullah saw. Bersabda: “Apabila umat ku telah
membuat lima belas perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka iaitu:
1. Apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu.
2. Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.
3. Zakat dijadikan hutang.
4. Suami memperturutkan kehendak isteri.
5. Anak derhaka terhadap ibunya,
6. Sedangkan ia berbaik-baik dengan kawannya.
7. Ia suka menjauhkan diri daripada ayahnya.
8. Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.
9. Yang menjadi ketua satu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka.
10. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.
11. Khamar (arak) sudah diminum di merata tempat.
12. Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki).
13. Para artis-artis disanjung-sanjung.
14. Muzik banyak dimainkan.
15. Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat).
Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau pun
mereka akan dirobah menjadi makhluk lain". (Riwayat Tirmizi)
Keterangan:
Dunia pada hari ini telah membuat segala apa yang telah disabdakan Rasulullah saw. ini,
cuma mungkin belum sampai ke peringkat akhir.

No comments: