Artis babit jenayah jejas imej industri hiburan
KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman (Seniman) semalam memberi amaran kepada pelakon dan penyanyi yang tidak serik-serik terbabit dalam salah laku moral, penyalahgunaan dadah atau jenayah supaya melucutkan status dirinya sebagai artis kerana memberi imej buruk terhadap industri hiburan.
Presiden Seniman, Harun Salim Bachik, berkata mana-mana artis yang tergolong dalam kategori itu tidak sepatutnya mengaku sebagai artis kerana mereka jelas tidak boleh menjaga diri sendiri serta keluarga besar dalam industri hiburan.
“Setiap kali berlaku kes negatif, masyarakat akan pandang serong terhadap industri. Memang tak boleh jaga semua ahli tetapi cukup jika sekadar artis menjaga diri sendiri sekali gus nama persatuan dan industri juga terpelihara.
“Saya tak faham kenapa artis muda yang bawa imej selebriti buat perkara tak elok, sepatutnya tak jadi hal macam ini. Sebagai Presiden Seniman, saya sedih dan kesal perkara ini berlaku, lebih baik jangan jadi artis kalau tak boleh jaga diri dan sibuk dengan benda tak elok,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pelakon dan pengarah itu diminta mengulas mengenai seorang pelakon wanita berusia 24 tahun yang ditahan kerana positif ujian dadah bersama tujuh lagi dalam operasi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam satu sekatan jalan raya di Sepang, kelmarin.
Artis yang membintangi drama bersiri Anak Pontianak itu bersama rakan wanita ditahan kira-kira jam 9 malam untuk ujian air kencing secara rambang sebelum mengaku mengambil ketamin manakala rakannya mengambil syabu.
Harun berkata, seseorang artis mengambil masa yang lama untuk bertapak dalam industri sebelum mencipta nama mencapai impian dan sepatutnya menjaga reputasi baik yang dibina itu dengan mengelakkan diri daripada terjerumus dalam gejala negatif.
“Kenapa bila sudah ada nama, sudah popular mereka sanggup buang keistimewaan itu begitu saja, hilang sekelip mata kerana terbabit dalam kegiatan tidak sihat,” katanya.
No comments:
Post a Comment