Korban lubang maut
am@hmetro.com.my
2010/02/17
KUALA LUMPUR: Dua pekerja kontrak warga asing maut selepas dipercayai terhidu gas beracun ketika berada dalam saluran pembetungan najis di sebuah kelab golf di Bukit Kiara di sini, petang semalam.
MALANG...mayat dua pekerja kontrak dalam kenderaan polis untuk dibawa ke hospital.
BAHAYA...lubang saluran pembentungan yang meragut dua nyawa.
Seorang saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad berkata, sebelum turun ke dalam saluran pembetungan itu, kedua-dua mangsa membuka penutup besi di atas lubang berkenaan terlebih dahulu.
“Apa yang saya tahu, mereka cuba turun ke dalam lubang pembetungan itu menggunakan pemijak besi disediakan. Namun sebaik turun beberapa meter, kedua-dua mangsa tiba-tiba sesak nafas akibat terhidu gas beracun sebelum terjatuh ke dasar lubang berkenaan.
“Beberapa pekerja warga asing yang menyedari kejadian itu cuba membantu dengan turun ke bawah lubang saluran itu menggunakan tali yang diikat pada tubuh. Malangnya baru beberapa meter mencuba, mereka mula berasa sesak nafas sebelum naik semula ke permukaan untuk menyelamatkan diri daripada lemas,” katanya.
Kegagalan menyelamatkan dua mangsa itu menyebabkan pihak kawalan keselamatan kelab golf berkenaan segera menghubungi polis dan pasukan bomba dan penyelamat bagi membantu mengeluarkan mangsa.
|
“Apa yang saya tahu, pekerja warga Indonesia terbabit dikenali sebagai Muzni, 30, berasal dari Jawa Timur. Dia yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak perempuan di Indonesia sudah lebih setahun bekerja di negara ini.
“Saya yakin dia mati akibat terhidu bau gas beracun dari saluran najis yang tersumbat itu berikutan bau busuk berkenaan tersebar meluas sebaik lubang berkenaan dibuka,” katanya.
Sementara itu, seorang saksi kejadian dikenali sebagai Laili, 30, berkata, seorang mangsa warga Bangladesh dikenali sebagai Kaswar, 30-an, sebelum itu ditugaskan melakukan kerja mengepam lubang najis tersumbat.
“Kaswar serta seorang lagi mangsa masuk ke dalam lubang terbabit dan ketika kedua-dua mangsa sedang memanjat tangga tiba-tiba tangga berkenaan patah menyebabkan kedua-dua mangsa jatuh semula,” katanya.
“Mungkin akibat terhidu bau dari bahan kimia yang ada di dalam lubang terbabit mengakibatkan kedua-dua mangsa lemas dan tidak dapat bernafas,” katanya.
Rakan mangsa juga memberitahu dia bergegas ke tempat kejadian selepas mendapat panggilan telefon daripada seorang lagi rakan mengatakan mangsa yang baru dua tahun bekerja di negara ini terjatuh dan sudah meninggal dunia.
“Saya sudah mengenali mangsa sejak di Bangladesh lagi dan apabila menerima berita kematiannya membuatkan saya terkejut serta terus ke kawasan dia terjatuh kerana jarak tempat kami bekerja tidak jauh.
“Bagaikan tidak percaya kerana baru semalam kami makan besar bersama sempena menyambut cuti perayaan dan dia kelihatan gembira tidak seperti selalu. Dia juga ada mengatakan kepada saya untuk mengirimkan wang kepada ibunya di kampung halaman selepas mendapat duit gajinya,” katanya lagi. Sementara itu, jurucakap bomba dan penyelamat Taman Tun Dr Ismail berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu menghantar beberapa jentera bomba dan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan mangsa.
No comments:
Post a Comment