Ramlan saintis herba
Oleh Siti Nur Almizan Aripin
snur@bharian.com.my
Pencetus penubuhan CEPP UTM yang jalankan kajian untuk komersialkan tongkat ali, kacip fatimah, mas cotek dan manjakani
SAAT bercerita kepayahan hidup sewaktu kecil, air matanya kelihatan bergenang. Namun, semua cerita duka yang pernah dihadapi Prof Ramlan Abd Aziz ditelan sendiri kerana dia lebih suka berkongsi cerita gembira terutama mengenai Loji Pandu Kejuruteraan Kimia (CEPP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang dianggap seperti 'cahaya mata' paling disayangi.
Pengarah CEPP itu berkata, idea penubuhan CEPP tercetus saat dia sendiri serius memikirkan bagaimana cara untuk memanfaatkan hasil hutan di negara ini yang menyimpan seribu satu khazanah pepohon herba bernilai tinggi.
“Lantas, ketika itu tekad untuk membangunkan satu-satunya makmal penyelidikan kejuruteraan kimia di negara ini diteruskan. Tapi apa yang boleh saya katakan, projek ini tidak mudah untuk direalisasikan, malah perjalanannya penuh cabaran,” katanya.
Bercerita mengenai CEPP, Ramlan berkata, idea untuk mewujudkan loji pandu kejuruteraan kimia mula difikirkan sejak 24 tahun lalu apabila melihat negara maju lain mempunyai makmal sendiri bagi menjalankan penyelidikan berasaskan teknologi.
ANTARA produk herba yang dihasilkan. |
Bermula pada 1992, selepas kerajaan meluluskan projek loji pandu, Ramlan berdepan tugas berat sebagai Pengurus Projek, mengetuai sekumpulan profesional dan bekerjasama dengan perunding dari Jerman.
“Tujuan penubuhan kumpulan berkenaan untuk mengenalpasti reka bentuk loji pandu terbaik yang menjadi satu-satunya loji pandu kejuruteraan kimia di negara ini dan rantau Asia Tenggara,” kata anak kelahiran Londang, Masjid Tanah, Melaka itu.
Saat itu juga bermula dunia baru Ramlan sebagai pakar herba yang masuk di segenap hutan dan pelosok kampung semata-mata untuk memahirkan diri dan mengenal sendiri pepohon herba bernilai tinggi yang mendiami hutan negara ini. Antaranya tongkat ali, kacip fatimah, mas cotek dan manjakani.
“Semua itu berjaya saya tempuhi namun saat paling sukar dan getir bagi kumpulan pertama di CEPP untuk meyakinkan agensi yang terbabit kerana ketika itu semua pihak tidak pernah terfikir bahawa hasil bumi boleh dikomersilkan,” katanya.
CEPP yang ditubuhkan secara rasmi pada 1998 menjalankan ujian terhadap hasil penyelidikan bertujuan menilai kemungkinan dari aspek teknikal dan juga potensi untuk ia dipasarkan.
Selepas 10 tahun, Ramlan boleh menarik nafas lega kerana nama CEPP bukan saja hanya dikenali di kalangan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) malah mereka turut menerima geran daripada firma besar lain seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Felda serta Sirim.
Antara hasil kajian CEPP yang dikomersilkan adalah pati minyak wangi daripada bunga, ekstrak tongkat ali, kacip fatimah, mas cotek, ekstrak buah-buahan seperti buah naga, nangka dan durian.
Katanya, CEPP mempunyai fungsi dan misi tersendiri iaitu menghasilkan kajian di atas permintaan pelanggan. CEPP turut menjalankan kajian bioteknologi untuk menghasilkan produk bagi kesejahteraan kesihatan.
“Aspek kesihatan yang kami laksanakan merangkumi semua iaitu bermula dari tanah, tumbuhan, binatang dan akhirnya untuk kesihatan tubuh manusia selain menyelesaikan masalah kehidupan iaitu dengan mewujudkan peluang ekonomi melalui perniagaan,” katanya.
Ramlan turut melahirkan harapan supaya penubuhan CEPP menjadi landasan bagi penduduk tempatan meningkatkan ilmu perubatan dan tradisi nenek moyang yang dipegang berkurun lama supaya ia tidak terus tenggelam bersama teknologi moden.
PROFIL
Profesor Ramlan Abd Aziz
Tarikh Lahir: 13 September 1958
Asal: Londang, Masjid Tanah, Melaka.
Profesyen: Pengarah Loji Pandu Kejuruteraan Kimia (CEPP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Pendidikan: Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia, Institut Sains dan Teknologi, Universiti Manchester (1981), Sarjana Kejuruteraan Kimia Institut Sains dan Teknologi, Universiti Manchester (1983)
No comments:
Post a Comment