Kaji pendekatan
2009/12/30
SEDAR atau tidak, perselisihan dan perbezaan pendapat antara golongan yang mengkaji dan mengamalkan Islam di Malaysia menjadi semakin hangat. Ia semakin mendapat perhatian ramai apabila di akhir-akhir ini muncul golongan kelas pertengahan daripada masyarakat yang suka mendapatkan sesuatu hukum berserta dengan dalilnya, tanpa hanya mendengar ‘halal’ atau ‘haram’ dan kemudian menurutinya dengan selesa.
SEDAR atau tidak, perselisihan dan perbezaan pendapat antara golongan yang mengkaji dan mengamalkan Islam di Malaysia menjadi semakin hangat. Ia semakin mendapat perhatian ramai apabila di akhir-akhir ini muncul golongan kelas pertengahan daripada masyarakat yang suka mendapatkan sesuatu hukum berserta dengan dalilnya, tanpa hanya mendengar ‘halal’ atau ‘haram’ dan kemudian menurutinya dengan selesa.
Antara kemuncak situasi ini adalah tangkapan ke atas bekas mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin, pada 1 November lalu.
Golongan masyarakat yang mempunyai kecenderungan mengetahui dan mendapatkan bukti atau dalil semakin berkembang selaras dengan perkembangan minda dan keterbukaan informasi melalui buku serta Internet.
Kesannya, amalan ibadat dan hukum yang biasa dipegang juga diamal serta disandarkan kepada mazhab Syafie yang sebelum ini diikuti tanpa banyak soal sejak turun temurun, mula dibuka untuk perbandingan dengan pandangan lain, demi mendapatkan satu hukum yang benar-benar selesa dipegang oleh golongan ini.
Secara tidak langsung, tindakan ini dilihat amat negatif oleh sebilangan golongan dan kelompok masyarakat lain iaitu dalam keadaan mereka sudah amat selesa dengan satu pegangan itu sejak sekian lama tiba-tiba muncul perbincangan terhadap pegangannya.
Apatah lagi apabila pegangan itu dianggap salah, digelar bidaah atau dikatakan sesat dan keadaan ini menyebabkan berlaku perang mulut.
Bagaimanapun, sebenarnya jumlah mereka yang terbabit dalam situasi ini masih agak terhad dan kecil jika dibanding dengan jumlah keseluruhan umat Islam di Malaysia. Cuma ia menjadi besar kerana kumpulan kecil ini masing-masing mempunyai pengaruh dan jawatan penting dalam masyarakat.
Hasil tinjauan dan pengamatan sederhana, saya mendapati adakalanya perdebatan ini bertukar daripada perdebatan sihat kepada sebaliknya. Bagi saya, kedua-dua golongan ilmuan ini sepatutnya:
a. Tidak cepat menghukum, sebaliknya perlu memahami perjuangan kedua-dua kumpulan dengan baik.
b. Menjaga asas dan adab serta bersabar dalam perdebatan dan perbincangan.
c. Memahami hujah, keadaan serta kesediaan masyarakat setempat.
d. Merujuk sesuatu isu dari sumber rujukan sama ada kitab yang benar-benar mewakili mazhab itu. Jika mazhab Syafie sebagai contoh, maka perlulah dirujuk kitab utama yang sudah disepakati oleh ribuan ulama Syafie silam.
Antaranya, kitab Rawdah at-Tolibin, Al-Majmu’, Nihayatul Muhtaj, Tuhfatul Muhtaj, Mughni al-Muhtaj, Fath al-‘Aziz dan Al-Umm. Ia antara kitab utama yang mesti dipastikan rujukan bagi mendapatkan satu fatwa yang mewakili mazhab Syafie.
e. Bersikap terbuka dan beradab dalam menilai pandangan ulama lain serta dalil bagi setiap fatwa mereka dan banyak lagi peranan lain yang tidak mampu saya nyatakan di ruangan kecil ini.
Kita amat mengharapkan semua ilmuan yang terbabit meneliti di mana punca temu dan tembung di antara dua aliran berkenaan.
Jika diteliti, kita akan mendapati kedua-dua mereka bertemu dalam banyak perkara terutamanya dalam niat baik yang ingin disumbangkan kepada masyarakat.
Golongan muda yang dinamakan juga ‘salafi’, ‘tajdid’, ‘sunnah’ atau dicop juga sebagai ‘wahabi’. Pada hemat saya, mereka ini menginginkan seluruh masyarakat lebih ‘selamat’ dan hampir kepada al-Quran dan sunnah (pada hemat dan penelitian mereka) iaitu dengan cara membawa mereka kepada pegangan akidah dan ibadat yang dipaku dengan dalil sahih tanpa hanya terikat dan taqlid kepada satu aliran atau pendapat saja.
Ia satu niat yang amat baik dengan mengembalikan fungsi akal yang dikurniakan Allah serta memurnikan ibadat dari rekaan yang dijangkakan boleh menghilangkan sasaran pahala yang diletakkan oleh Rasulullah. Namun tidak dinafikan terdapat implikasi buruk dalam pendekatan ini jika salah cara dan kaedahnya.
Dr Asri dilabelkan oleh mereka yang tidak menyetujuinya sebagai seorang daripada individu utama kumpulan ini. Saya yakin, hasil daripada label ini juga yang menyebabkan beliau ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) beralasankan ketiadaan tauliah.
Golongan tua pula dikenali sebagai ‘khalafi’ atau tradisionalis. Mereka berpegang secara umumnya kepada pendapat dan ijtihad mazhab Syafie.
Mereka berhasrat menyatupadukan pendapat dan amalan bagi mengelak cabangan pandangan yang dianggap boleh merosakkan kesatuan umat Islam yang amat rapuh hari ini.
Selain itu, ia juga sebagai cara untuk memudahkan orang awam yang dirasakan kurang berkemampuan untuk mengikuti kaedah yang diperjuangkan oleh kumpulan pertama tadi lalu mereka mempopularkan cara taqlid (ikutan tanpa mengetahui dalil mazhab dan tiada pula kajian terperinci).
Ia sebagai medium penyatuan dalam masyarakat dan juga ibadat, selain menganugerahkan kemudahan buat masyarakat yang majoritinya tidak punya kemampuan untuk mengkaji secara mendalam hingga ke tahap dalil bagi sesuatu ibadat.
Selain itu, mereka juga risau akan munculnya individu yang tidak berkelayakan lalu menggunakan kaedah rujukan dalil tadi sehingga menyeleweng. Menurut mereka, lebih baik bertaqlid kepada satu mazhab (Syafie) berbanding mendedahkan ruang orang ramai tersilap dan menyeleweng.
Selain itu juga, adalah lebih baik mempromosi ijtihad ulama Syafie daripada memegang pendapat sendiri yang amat kurang berilmu. Namun, pendekatan ini juga mempunyai implikasi buruk khususnya terhadap perkembangan disiplin ilmu di kalangan masyarakat dan boleh memudarkan keilmuan seseorang ulama akibat tidak lagi perlu menjawab dan merujuk sumber asal dan dalil.
Untuk makluman, sebahagian besar daripada ahli agama berjawatan rasmi di institusi kerajaan pusat dan swasta daripada kumpulan aliran pemikiran sebegitu. Justeru, kita dapat lihat, perjuangan mereka semua berniat baik, cuma mereka berbeza dalam sasaran bentuk pergerakan, penentuan keutamaan dan pendekatan.
Saya yakin, niat kedua-dua kumpulan adalah amat baik dan inilah yang perlu dihormati oleh individu yang meyakini mana-mana aliran pemikiran dan pendekatan di atas. Ini lebih elok daripada asyik berbicara berkaitan perselisihan mereka.
Namun begitu, akibat perselisihan yang semakin buruk, muncul tuduhan daripada kedua-dua pihak, saling tuduh menuduh di sebelah sana tidak lain hanya ingin menyesatkan dan memecahbelahkan orang ramai.
Masing-masing semakin hangat menuduh antara satu sama lain serta menggelarkan orang lain sebagai punca masalah tanpa sedar lagi kemungkinan dirinya adalah silap dan puncanya.
Lebih dibimbangi, perbezaan pendapat terbabit membawa kepada permusuhan dahsyat, sehingga jika diselami hati pembenci daripada kalangan mereka, pasti ada terlihat keinginan yang sangat luar biasa malah keji seperti ingin melihat pihak yang lain ditangkap, dipenjara atau lebih daripada itu, meninggal dunia.
Walhal, isu yang berbangkit kebanyakannya adalah isu yang bersifat zhonni atau yang menerima perbezaan takwilan dan pandangan. Tidak wajar dipergaduhkan dalam bentuk ekstrem dan keras.
Memadailah untuk mengemukakan hujah balas kepada apa yang dirasakan lemah dan kemudian jika pihak di sebelah sana tidak dapat menerimanya, berlapang dadalah.
> BERSAMBUNG MINGGU DEPAN
No comments:
Post a Comment