Dugaan pendakwah
2009/12/30
MINGGU lalu, artikel membicarakan berkaitan keikhlasan diri kita sendiri dalam berdakwah, berpolitik, menulis dan pelbagai lagi. Ia tidak mudah untuk dilakukan dan berikut adalah sambungan artikel.
MINGGU lalu, artikel membicarakan berkaitan keikhlasan diri kita sendiri dalam berdakwah, berpolitik, menulis dan pelbagai lagi. Ia tidak mudah untuk dilakukan dan berikut adalah sambungan artikel.
PENDAKWAH MELALUI POLITIK, JAWATAN DAN PANGKAT
Ada sekumpulan pendakwah, berjuang demi Islam dan mencari reda Allah SWT melalui jalan politik, jawatan yang dipegang dan yang ‘ingin dipegang.’ Di dalam hati mereka seolah tertulis, ingin melaksanakan yang terbaik untuk mencapai tempat terbaik di sisi Allah SWT lalu jalan ini diambil dan jalan sampingan lain juga digunakan.
Namun, liciknya syaitan, dengan mudah saja seorang pendakwah Islam melalui medium politik boleh jatuh tersungkur di sisi Allah SWT. Akhirnya dia berjuang bukan lagi kerana Islam dan reda-Nya tetapi kerana kecintaan kepada penyokong yang ramai, pangkat, pejabat besar dan pujian orang bawahan.
Lebih parah, apabila dipandang hina semua pendakwah yang tidak berjuang sepertinya atau ‘tidak berjuang melalui jalan politik’. Dirasakan mereka itu semua bacul, penakut, sebahagiannya munafik, tercicir di jalan dakwah, hanya ingin berjuang dalam zon selesa, pendakwah ‘mi segera’ dan pelbagai lagi perasaan benci juga gelaran buruk kalau boleh disebatikan dengan pendakwah tidak sepertinya.
Tatkala itu, hancurlah amalannya, bukankah sudah disabda Nabi Muhammad SAW bahawa ujub itu menghancur amalan. Lebih jauh daripada itu, digelar pula dirinya sebagai mujahid, pejuang Islam tulen atau pelbagai gelaran lain bagi menunjukkan dirinya sedang berjuang dengan gagah berani lagi sengit. Tidak seperti pendakwah lain.
Sepatutnya, jika gelaran mujahid itu diberi orang, janganlah dia terkesan dengannya kerana dirinya mungkin dilihat pejuang di sisi manusia, namun belum tentu di sisi Allah SWT. Orang yang berjuang boleh berdoa supaya tergolong di kalangan pejuang, namun untuk melabelkan diri sebagai ‘pejuang,’ itu bukan caranya.
Biar Allah SWT saja menentukan kita adalah pejuang atau sebaliknya, tugas kita adalah sentiasa memastikan kita layak melalui ikhlas dan rendah diri.
Boleh saja perjuangan itu tersasar kerana keinginan kepada ‘kuasa’ terlebih daripada sepatutnya. Tatkala itu, keikhlasannya pudar dan semakin terpadam. Akhirnya, tatkala dia sudah memegang kuasa, jawatan, apa yang dijanjikan kepada Allah SWT sebelum ini dilupakan.
Kerjanya untuk mencapai reda manusia dan pengundinya menjadi semakin dominan berbanding reda Allah SWT. Tatkala itu hancurlah dia pada pandangan Yang Esa.
PENDAKWAH MENUNTUT ILMU
Selain berdakwah dengan mengajar, pendakwah juga sentiasa berterusan belajar. Hasil ilmu asas yang baik dalam diri dijadikan modal untuk meneruskan pembacaan dan galian ilmu yang tiada tara didalamnya.
Seseorang yang menuntut ilmu sering diingatkan Rasulullah SAW supaya berterusan menjaga keikhlasan. Ilmu yang dicari serta digali dengan niat menunjuk lebih pandai dan alim, jaguh berdebat, mengelirukan orang ramai, menutup kesalahan diri juga seumpamanya, akan pasti membuahkan ilmu yang memporak perandakan masyarakat, bukan menyatupadukan.
Bukankah ilmu sepatutnya membawa kepada Allah SWT dan semua pihak yang bersama-Nya akan bersatu padu. Itulah formula yang ditegas oleh Yang Esa: “Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman) walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah SWT telah mempersatukan hati mereka (Al-Anfaal: 63).
Dirinya merasakan sedang berjuang habis-habisan menghapuskan kemungkaran dan kekeliruan dalam agama. Dirasakan dirinya sentiasa di pihak yang benar lagi tepat hingga kebenaran yang dirasakan berada dipihaknya itu menghalalkan dirinya untuk menyesat, mengkafir, membid’ahkan dan menghukum orang juga pihak lain seolah tiada lagi ruang juga kemungkinan kebenaran berada di pihak satu lagi.
Akhirnya, syaitan mengambil alih, mengubah niatnya daripada menuntut ilmu secara ikhlas untuk mencapai reda Allah SWT kepada menuntut ilmu supaya boleh mempertahankan kumpulannya, ideanya, maruahnya, dan periuk nasinya. Lalu malang mereka... apakah yang boleh menyedarkan mereka? Wallahu’alam.
KESIMPULAN
Tulisan ini sebenarnya lebih kepada peringatan buat sendiri. Cuma ia disiarkan untuk dimanfaatkan oleh mana-mana rakan pendakwah yang sudi mengambil manfaat.
Ia adalah peringatan kepada satu daripada cabaran terbesar buat individu yang menceburi bidang dakwah, namun terlupa akan cabaran ini. Akhirnya minda dan hati, menjadi sarang yang busuk dek kuman juga virus syaitan.
Bimbang matinya kita kelak, merasa diri sudah berjuang dan berdakwah tetapi dilihat SEBALIKNYA oleh Allah SWT. Sebuah hadis yang sangat memberi kesan kepada jiwa, sejak dulu lagi, iaitu (ringkasan terjemahan): “Antara yang terawal diadili di hari kiamat kelak adalah mereka yang mati syahid. Kemudian ditanya kepada mereka: “Apakah yang kamu sudah perbuat (amalan di dunia dulu)?
Jawabnya: “Aku berjuang untuk-Mu (wahai Allah SWT) sehingga mati syahid.”
Dibalas: “Kamu berbohong, tetapi kamu berjuang untuk digelar ‘SANG BERANI.’ Maka dikatakan, ditarik semula amalannya dan dicampakkan kemukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.
Ditanyakan kepada (orang kedua): “Apakah yang kamu perbuat (amalan di dunia dulu)?
Jawabnya: “Aku mempelajari ilmu, mengajarkannya dan membacakan kerana-Mu al-Quran,”.
Dijawab semula: “Kamu berbohong, kamu mempelajari ilmu agar kamu boleh digelar ‘ALIM,’ kamu membaca al-Quran agar digelar QARI.” Maka dikatakan, ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.
Ditanyakan kepada (orang ketiga): “Apakah yang kamu perbuat (amalan di dunia dulu)?
Jawabnya: “Tidak aku sesuatu yang engkau sukai untukku dermakannya kecuali aku dermakannya kerana-Mu.”
Dijawab semula: “Kamu berbohong kamu mendermakannya agar kamu digelar DERWAMAN.” Maka dikatakan kepada malaikat, lalu ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka (Riwayat Muslim, no 3527, Kitab al-Imarah).
Semoga kita semua dijauhkan daripada racun hati oleh si musuh Allah SWT yang sentiasa bekerja keras untuk istiqamah atas landasan ikhlas sebenarnya. Bagi sesiapa sudah berjaya ikhlas, tiba-tiba dipuji manusia atas sumbangan dan kebaikannya, segala itu tidak memberikan kesan kepada kecintaan juga niatnya yang ikhlas kepada Allah SWT.
No comments:
Post a Comment