Saturday, February 6, 2010


Pedoman: Ambil iktibar sempena tahun baru



2010/01/03

FIRMAN Allah SWT dalam surah al-Asr ayat 1-3: “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”




Sabda Rasulullah SAW: “Daku tinggalkan untuk kamu dua perkara, kamu tidak akan tersesat selama-lamanya, selama kamu masih berpegang kepada kedua-duanya iaitu kitab Allah SWT (al-Quran) dan sunnah Rasul-Nya.”


Dua perkara penting dalam firman Allah SWT serta sabda Rasulullah SAW berkenaan seolah-olah tidak lagi menjadi pegangan dan panduan umat Islam hari ini, sebaliknya setiap kali melangkah ke tahun baru, yang dipentingkan ialah kehidupan dunia menjadi semakin baik daripada tahun sudah.

Akibatnya, semakin ramai umat Islam terbuai dengan kehidupan duniawi manakala kehidupan abadi di akhirat ditinggalkan.

Jika dilihat, ramai lagi umat Islam dalam dunia ini yang menderita seperti berlaku di Palestin tetapi keimanan mereka tidak terjejas, malah semakin kuat.

Melangkah ke 2010, umat Islam di Malaysia sepatutnya lebih kuat dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pendidikan dan sebagainya, tetapi apa yang berlaku kini ialah kita berpecah-belah akibat fahaman sempit masing-masing sedangkan ia sepatutnya tidak berlaku.

Mengapa kita tidak mengikut jejak Rasulullah SAW dalam pelbagai perkara dan lebih teruk lagi menjadikan kehidupan sementara ini batu loncatan bagi mendapatkan kemewahan serta perkara mengasyikkan lain, malah al-Quran dan sunnah baginda juga ditinggalkan begitu saja.

Sepanjang 2009, pelbagai bencana alam melanda dunia dan ia sesungguhnya peringatan daripada Allah SWT bahawa setiap nilai kemewahan, keasyikan serta harta duniawi lain boleh ditarik balik sekelip mata saja tanpa amaran.

Kerana itu, melangkah ke 2010, mari kita merenung sejenak setiap kesalahan atau kesilapan yang kita lakukan dan mengambil iktibar terhadapnya.

Perkara negatif serta mungkar yang boleh mengaibkan diri, masyarakat serta agama yang berlaku tahun lalu hendaklah ditinggalkan dan jangan diulang.

Manakala perkara baik dan makruf, kita teruskan dengan penambahbaikan lagi, mudah-mudahan kita menjadi umat yang diredai Allah SWT.

Firman-Nya: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan diperlihatkan (dalam suratan amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan diperlihatkan (dalam suratan amalnya).”

Sabda Rasulullah SAW: “Peliharalah lima perkara sebelum didatangi lima perkara lain iaitu waktu usia muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk dan hidup sebelum mati.”

Justeru, tekadkan hati, bulatkan azam dan besarkan cita-cita demi masa depan yang lebih gemilang kerana jika kita gagal berubah tahun ini, tidak mustahil kita akan terus gagal untuk masa mendatang.

No comments: