DUNIA
Profesor tembak mati profesor
KAMPUS Universiti Alabama Hunstville (UAH) di sini kelmarin gempar apabila seorang profesor wanita mengamuk sebelum menembak mati tiga orang rakannya setelah kecewa mengetahui dia gagal dilantik secara tetap untuk mengajar di situ.
Suspek, Dr. Amy Bishop, 42, berjaya ditahan pihak polis Amerika Syarikat (AS) yang tiba 10 minit sejurus tembakan dilepaskan kira-kira pukul 4 petang Jumaat (6 pagi waktu Malaysia semalam) dan mengepung kampus UAH selama dua jam.
Polis berkata, suspek telah didakwa membunuh Pengerusi Jabatan Sains Biologi UAH, Gopi K. Podila serta dua profesor madya jabatan itu, Maria Ragland Davis dan Adriel Johnson yang jika sabit kesalahan, Amy boleh dikenakan hukuman mati.
Lepasan Universiti Harvard dan juga pakar biologi saraf itu juga mencederakan 10 orang termasuk tiga mangsa lagi yang dilaporkan parah namun, polis mengesahkan tiada pelajar cedera ketika kejadian tembakan rambang tersebut berlaku.
Kejadian tragis itu bermula apabila Amy masuk ke bilik mesyuarat yang sedang membincangkan mengenai pengesahan pelantikan jawatan sebelum dia melepaskan tembakan rambang. Suaminya yang membuka pintu bilik itu ditahan untuk membantu siasatan tetapi tiada dakwaan dikenakan.
Amy dan suaminya, yang tidak didedahkan nama, dianggap sebagai pasangan bijak serta pernah memenangi satu pertandingan reka cipta di UAH pada 2007, tetapi ramai pelajar tidak menyukai suspek kerana tidak tahu mengajar di dalam kelas.
Beberapa staf di Jabatan Biologi berkata, suspek yang menyertai UAH pada 2003, mungkin bertindak demikian setelah pelantikannya ditolak ekoran petisyen oleh sekumpulan penuntut yang mengadu dia gagal mengajar dengan baik dan hanya menyuruh mereka membaca buku teks untuk lulus ujian.
UAH yang ditubuhkan sejak 1969 kini menempatkan 7,500 pelajar dan universiti awam itu terkenal kerana program kejuruteraan dan sains angkasa serta bekerja rapat dengan agensi angkasa kebangsaan NASA.
Kes tembakan di dalam kawasan kampus belum pernah melibatkan suspek wanita dan ini menjadi kes terbaru selepas Jumaat minggu lalu, seorang pelajar ditembak rakannya sendiri di Madison. - Agensi
No comments:
Post a Comment